ALOR SETAR: Misteri ketiadaan kelibat pelumba harapan negara, Muhd Harrif Salleh ketika permulaan peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 di Georgetown, Pulau Pinang semalam terjawab apabila pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling (TSG) itu tersingkir daripada perlumbaan.

Harrif difahamkan melanggar peraturan pertandingan apabila berpaut pada kenderaan ketika perlumbaan peringkat kelima kelmarin daripada Kuala Kangsar ke Kulim.

Justeru, TSG kini bergantung harap kepada empat orang pelumba sahaja berbaki dua perlumbaan di Pulau Langkawi apabila sebelum ini turut kehilangan seorang pelumba, Youcef Reguigui ketika peringkat keempat kerana terlibat dengan kemalangan.

“Perlumbaan hari ini (semalam) sukar kerana kami tiada pakar pecut setelah kami kehilangan Harrif, jadi misi kami adalah untuk memastikan semua pelumba yang masih ada dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat.

“Dia mengalami kesukaran ketika di zon pendakian semalam (kelmarin) di Sumpitan dan dia berpaut terhadap salah sebuah kereta pasukan, tetapi bukan pasukan kami, ia bukanlah salah ahli kru pasukan kami, tetapi penganjur sudah memutuskan Harrif tersingkir, jadi kami akan cuba teruskan juga baki perlumbaan,” jelas Pengarah Sukan TSG, Danny Feng.

Bagaimanapun, TSG kini masih unggul untuk memegang dua jersi utama iaitu jersi putih, pelumba terbaik Asia menerusi Jambaljamts Sainbayar dan Nur Aiman Zhariff yang menyarung jersi merah, Raja Bukit.

Perlumbaan hari ini yang akan bermula dari Kuah dan tamat di puncak Gunung Raya dengan jarak sejauh 90.8 kilometer bakal menjadi penentu memandangkan zon dakian ke gunung tersebut diletakkan dalam kategori satu dengan ketinggian setinggi 864 meter.

Aiman kini berkongsi mata dengan Jambaljamts dalam perebutan jersi merah memandangkan kedua-dua pelumba itu terikat 29 mata.

“Saya perlu bekerja keras seandainya idam untuk mempertahankan jersi ini sehingga ke perlumbaan akhir, kerana perlumbaan esok (hari ini) hanya ada dua zon dakian, dan siapa yang dapat menakluk Gunung Raya bakal mendapat kelebihan besar.

“Jika saya tak berupaya untuk melakukannya, jadi perlumbaan terakhir iaitu peringkat kelapan, saya kena tawan dua daripada zon dakian (Lebuhraya Langkawi) yang ditawarkan di, jadi ia satu tugas yang mencabar juga,” jelas Aiman.-UTUSAN

 

The post Harrif tersingkir dari LTdL 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *