BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan pengundi luar yang pulang ke kampung halaman masing-masing supaya berhati-hati ketika berada di jalan raya terutama bagi mereka yang memandu kenderaan sendiri.

Perdana Menteri berkata, apabila kerajaan mengumumkan cuti umum pada Jumaat, iaitu sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ramai mula pulang ke kampung sejak semalam.

“Saya menyeru kepada pengundi terutama pengundi luar yang pulang ke kampung untuk mengundi supaya berhati-hati di jalan raya.

“Kita tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku. Saya difahamkan jalan sesak sejak malam tadi. Dan hari ini juga, jalan akan sesak. Banyak kenderaan di atas jalan raya. Yang pentingnya adalah keselamatan mereka. Itu perlu utamakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas program ramah mesra bersama penduduk Bandar 32, di sini hari ini.

Ismail Sabri juga mendoakan keselamatan pengundi yang akan pulang semula ke tempat kerja selepas habis cuti mengundi. 

“Esok kita mengundi. Jadi, pandu secara berhemah dan berhati-hati agar tiba ke kampung dengan selamat. Dan jika balik semula ke tempat bekerja masing-masing di bandar, juga saya harap berhati-hati di jalan raya.

“Saya mendoakan semua selamat kembali ke kampung dan pulang ke tempat kerja masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN

The post Hati-hati di jalan raya pulang mengundi, utamakan keselamatan – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *