BAGAIMANA kita menilai lagu-lagu pop yang ada dalam pasaran Malaysia? Pertama, pastilah kualiti melodi, lirik dan susunan lagu itu sendiri. Ia asas.

Namun, ia belum cukup. Lagu dengan kualiti yang baik itu banyak dan kualiti melodi, lirik serta susunan sahaja tidak boleh menjamin kesegaran.

Masalah dengan pasaran pop sekarang, ia hampir tepu dengan bunyi yang seakan sama. Semangat mahu tampil berbeza tidak mengalir deras.

Sebab itu, penilaian kedua yang perlu dibuat dalam menilai lagu-lagu pop ialah kesegaran.

Kesegaran boleh dicapai dengan menyuntik sedikit semangat alternatif. Tidak perlu jadi seaneh Bjork atau Black Midi pun, cukup tampilkan sedikit kelainan dalam templat komposisi pop lazim.

Kuncinya, elakkan menjadi banal. Banal itu merosakkan dan membosankan.

Terpaling collab

Ketika Heidi Moru tampil dengan lagu Senja, ia menjentik keterujaan. Memandangkan ini lagu pertama ciptaan penuh Heidi yang diterbitkan, ia menjadi ujian besar dalam kerjaya gadis Sabah ini.

Sebelum ini, kerjaya Heidi seperti tertakung. Orang kenal nama Heidi Moru sebagai penyanyi – memetik kata-kata Heidi sendiri – ‘terpaling collab’. Terlalu banyak kolaborasi dalam tempoh dua tahun menyebabkan perjalanan kerjaya Heidi dilihat penuh dengan langkah-langkah kecil yang kurang signifikan.

Namun, saya ada pandangan berbeza. Walaupun kolaborasi itu langkah kecil tapi ia signifikan kerana kolaborasinya melibatkan bunyian yang berbeza.

Heidi tampil dengan wajah yang berbeza-beza dalam Jika Ini Yang Terbaik (bersama Hasha Roslan), Cinta (Modread), Biarkan Masa (Dewataraya), As Long As We Stay (FUGO) sehingga Jika Kau Benar (Joyberry).

“Kalau saya perlu berkolaborasi dengan kugiran-kugiran untuk saya jumpa ‘suara’ saya, saya akan buat,” kata Heidi yang gembira dengan penglibatannya dalam pelbagai projek.

Mencari suara

Sudah lebih empat tahun Heidi berada dalam industri sejak memenangi tempat kedua Bintang RTM 2018. Namun, dia sendiri mengakui, perjalanan mencari suara dan identitinya masih berlangsung.

“Saya masih meneroka bunyian sendiri tetapi saya mahu kekalkan gaya nyanyian yang lembut,” kata Heidi.

Itu bukan masalah kerana sejak dahulu, Heidi dikenali sebagai penyanyi dengan suara merdu dan gemersik. Ini sahaja sudah boleh menjadi titik jualnya kerana kita sudah ada terlalu ramai penyanyi wanita yang bertumpu kepada kemampuan menyampaikan not tinggi dalam nyanyian.

Cuma dari segi identiti bunyi, Heidi masih boleh terus meneroka.

Apabila ditanya tentang rujukan dan inspirasi dalam menghasilkan Senja, tiga nama dipetik: Billie Eilish, Deb Never dan Lana Del Rey.

Ini langkah yang baik kerana merujuk artis antarabangsa ialah langkah termudah untuk menampilkan kesegaran di Malaysia. Bukanlah menjadikan artis tempatan sebagai rujukan itu tidak baik, namun rujukan sebegitu berpotensi menyebabkan bunyian dalam pasaran tempatan menjadi tepu.

Senja mempunyai susunan yang segar untuk pasaran pop Malaysia, kredit kepada Heidi dan penerbitnya, Floral Cansas. Jika Heidi memilih laluan ini sebagai identitinya, dia boleh menawarkan aroma baharu untuk industri.

Teman tidur

Senja adalah luahan rindu Heidi kepada keluarganya di Sabah. Lagu ini tentang keindahan senja yang mengingatkannya kepada kasih ibu yang jauh.

Baris “siapa aku jika tak punya kamu” ialah pengumuman Heidi kepada semua orang bahawa dia tiada apa-apa tanpa sokongan dan kasih sayang keluarganya.

Latar bunyi dengan dinamik yang pelbagai membantu menyampaikan rasa sepi serta rindu yang mencengkam.

Mungkin lagu dengan melodi perlahan sebegini boleh buat orang tidur tapi Heidi suka. Itu cita-citanya.

“Saya mahu orang kenal saya sebagai penyanyi yang bikin orang tidur,” katanya lalu mengundang ketawa sesama kami.

Namun, itu bukan sepenuhnya gurauan. Penjelasan Heidi buat saya terdiam sekejap.

“Saya sedar baru-baru ini, ramai orang susah nak tidur malam. Kebanyakan kawan saya pun cakap, asal saya menyanyi mesti mereka mahu tidur.

“Jadi, saya okay. Saya mahu jadi penyanyi yang boleh teman dan bantu orang tidur,” jelasnya.

Berjuta alasan boleh dicipta untuk menjelaskan niat seorang penyanyi. Ada penyanyi yang tuturkan sahaja apa yang sudah diskripkan oleh syarikat rakaman apabila ditanya soalan ini tetapi Heidi memilih jujur.

Sebab muzik yang buat orang tidur itu tidak semestinya membosankan. Ia boleh jadi menenangkan dan menyelesakan.

Genre ambien sudah lama meneroka fungsi muzik yang sebegini. Hasil kerja Brian Eno, Hiroshi Yoshimura dan Kitaro menjadi peneman ramai orang, memberikan kita kelapangan dalam bilik yang sempit dan ketenangan dalam fikiran yang kusut.

Jika Heidi mampu jadi penyanyi yang boleh bantu para penghidap insomnia tidur malam, ia satu kejayaan besar. Tidak mustahil jika vokal gemersiknya boleh memberi kesan yang sama seperti bunyian ambien.

Apa sahaja mimpi Heidi, dia perlu terus meneroka dan bereksperimen sehingga identitinya dijumpai.

Potensinya besar. Pasaran pop Malaysia yang kian tepu boleh digoncang jika Heidi jumpa suaranya dan impak karyanya digema semua peminat.

The post Heidi Moru buka langkah baharu dengan Senja appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *