GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar menggesa supaya aktiviti perlombongan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) dihentikan segera.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkuasa negeri terutama di Perak, Kedah, Kelantan dan Pahang digesa mempertimbangkan semula dan membatalkan kelulusan operasi perlombongan di kawasan-kawasan tersebut.

“Gesaan dan pertimbangan tersebut selari dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70 pada 18 November 2014 yang memutuskan supaya semua negeri mengambil inisiatif untuk mengawal atau mengelakkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan kuari di kawasan HSK dan KSAS.

“Kewajaran MTN melaksanakan ketetapan tersebut adalah kerana aktiviti perlombongan dan kuari di kawasan HSK secara langsung akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat CAP, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Penyelidik Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman dan Penasihat Sahabat Alam Sik, Mohd. Sobri Ramlee.

Menurut Mohideen, sebagai contoh, lokasi cadangan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah adalah di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang (HS Bukit Enggang).

Katanya, berdasarkan Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), sumber mineral berasaskan nadir bumi tidak ditakrifkan sebagai hasil hutan sekali gus tidak boleh dikeluarkan dari kawasan HSK.

“Mengapa pihak berkuasa negeri tidak mempersoalkan dua agensi berkaitan iaitu Jabatan Perhutanan negeri (agensi yang mengurus dan mempunyai bidang kuasa terhadap HSK) dan Menteri Besar Inc. (anak syarikat Kerajaan Negeri yang diberi permit penggunaan bagi menjalankan aktiviti dalam HS Bukit Enggang.

“Adalah mustahil kedua-dua agensi tersebut langsung tidak mengetahui apa yang berlaku sedangkan ia merupakan kawasan larangan bagi yang tidak berkenaan.

“Malah perkara ini diketahui umum hanya selepas pihak media mendedahkan isu kecurian REE di HS Bukit Enggang,” katanya.

Sehubungan itu tambah Mohideen, pihaknya menggesa semua pihak berkuasa negeri mengambil tindakan menghentikan dan tidak membenarkan sebarang kegiatan yang berisiko seperti aktiviti perlombongan di kawasan HSK dan KSAS.

“Kerajaan negeri tidak seharusnya mengutamakan keuntungan semata-mata dan tidak mengendahkan kesejahteraan rakyat serta alam sekitar,” katanya. – UTUSAN

The post Henti segera perlombongan di hutan simpan, kawasan sensitif appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *