KUALA TERENGGANU: Kementerian Komunikasi dan Digital mengarahkan pengendali platform media sosial mengambil tindakan terhadap aktiviti menjual video rakaman kamera tersembunyi di dalam bilik persalinan premis perniagaan pakaian.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, pengendali platform seperti Facebook, TikTok dan Twitter wajar bertindak segera memadam dan menurunkan video rakaman tersebut yang didakwa semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Malah, menurutnya, platform media sosial itu boleh mengambil tindakan menutup akaun yang dikesan menjual video rakaman tersebut.

“Tindakan tersebut wajar diambil dalam usaha untuk meningkatkan lagi perlindungan untuk semua pengguna di media sosial.

“Kalau kami terima maklumat seperti pautan, kami juga akan sampaikan kepada SKMM dan platform media sosial terlibat supaya content (kandungan) itu boleh dipadankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Walkabout Edaran Tanglung sempena Tahun Baharu Cina di Kampung Cina di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pengguna menceritakan mengenai penemuan aktiviti menjual video rakaman kamera tersembunyi yang berada dalam bilik persalinan sebuah kedai pakaian terkenal.

Menurut ciapan tersebut, beberapa video merakamkan privasi pelanggan ketika menukar baju telah direkodkan untuk dijual.

Nie Ching memberitahu, pihaknya juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap individu yang dikesan menjual video rakaman tersembunyi itu di media sosial.

Pada masa sama, katanya, pihak polis juga boleh melakukan siasatan untuk membendung aktiviti tidak bertanggungjawab itu.

“Saya rasa itu adalah di bawah bidang kuasa pihak polis untuk buat siasatan tetapi kalau pihak polis perlulah bantuan dari segi teknikal, jadi SKMM dan CyberSecurity Malaysia (CSM) sedia memberi bantuan teknikal atau analisis forensik,” ujarnya. – UTUSAN

The post Hentikan jual video rakaman kamera tersorok di media sosial appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *