SEORANG kawan membuka cerita, anaknya yang sebelum ini menjalani latihan praktikal (internship) di sebuah syarikat besar di ibu negara ini, akhirnya mendapat pekerjaan di syarikat berkenaan.
Pun begitu, dia terkejut kerana anaknya yang diletakkan di bahagian pembangunan sumber manusia itu ditawarkan gaji bulanan sebanyak RM1,550 – lebih RM50 saja daripada gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini dengan status kontrak.
Dalam perbualan di grup WhatsApp itu dia berkata, ikut logik akal memang tak berbaloi lah dengan tambang naik LRT dan naik Grab dari rumah ke LRT, duit makan dan bayar pinjaman pendidikan. Baki yang tinggal hanya beberapa ringgit saja.
” Itu pun dia duduk dengan mak bapa, kalau menyewa bilik, bayar bil air dan elektrik memang tak cukuplah.
“Tetapi tak mengapalah, syukur … asalkan dia dapat pengalaman kerja pertama di syarikat besar itu,” ceritanya.
Saya menyampuk, gaji kita masa mula-mula masuk bekerja dengan ijazah lebih 20 tahun dulu pun RM1,300. Itu pertengahan tahun 90-an. Tak jauh lari daripada gaji sekarang nampaknya.
Sepatutnya, tahun demi tahun berlalu, pasti ada perkembangan yang baik dari segi kenaikan gaji seorang lepasan ijazah. Tak akan masih sama macam 30 tahun lepas. Masih di takuk purba kala lagi.
Memanglah mencari pengalaman itu penting tetapi janganlah ambil kesempatan dengan alasan ketiadaan pengalaman lepasan ijazah ini maka gaji dibayar sedikit mungkin sama atau lebih rendah daripada atendan pam minyak.
Iyalah, agak menjengkelkan, bila syarikat boleh membayar gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sehingga beratus ribu dan ada yang lebih RM1 juta sebulan, dengan memberi kereta mahal yang menunjukkan syarikat tersebut berkemampuan dari segi kewangan, tapi tak akanlah beri gaji pekerja bertaraf profesional ini RM1,550 saja.
Begitukah pasaran pekerjaan sekarang meletakkan nilai seorang pekerja profesional dengan upah yang begitu rendah? Adakah ini sebenarnya mahu menghina sistem pendidikan kita sendiri?
Seorang lagi kawan mencelah, anaknya yang bekerja di sebuah kedai kopi premium, pun gajinya RM2,000. Dia ada sijil kursus gunting rambut dari GiatMara. Tetapi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, kedai gunting tutup dan akhirnya dia bekerja di kedai kopi itu.
“Anak aku dah tiga tahun kerja kedai kasut. Guna sijil SPM saja. Gaji dia pun sudah nak cecah RM2,300,” kata seorang lagi kawan alumni sekolah saya.
Hakikatnya, sekarang ini gaji lepasan ijazah dibayar RM2,000 pun sudah cukup baik. Mahu terima atau lupakan, majikan beranggapan ramai lagi yang berebut untuk mengisi jawatan ditawarkan, kalau tidak puas hati dengan gaji sebanyak itu.
Sampai bila mentaliti majikan masih sebegini. Sistem ‘hentam kromo’ dalam menggajikan pekerja tanpa melihat kepada tahap kemahiran dan profesional membuatkan mereka ini jatuh pula dalam kategori miskin bandar.
Sebagai contoh, di Kuala Lumpur, RM2,216 adalah garis kemiskinannya dan mana-mana isi rumah yang memperoleh pendapatan kurang daripada itu ditakrifkan miskin.
Jika pendapatannya separuh daripada itu iaitu RM1,110, keluarga tersebut dikategorikan sebagai miskin tegar.
Sikap begini juga menimbunkan lagi golongan B40 di negara ini, walhal semua pun tahu pendidikan boleh mengubah status kehidupan seseorang dan sehingga sekarang kita percaya akan perkara ini.
Tetapi kalau berterusan begini, lama kelamaan ada yang menganggap tak belajar tinggi pun tak apa, gaji tetap sama atau kurang daripada yang tak belajar tinggi.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan siswazah menganggur telah berkurangan kepada 4.1 peratus pada tahun lepas.
Bilangan siswazah bekerja meningkat sebanyak 5.0 peratus dengan mencatatkan 4.57 juta orang (2020: 4.35 juta orang). Sementara itu, sekitar dua pertiga (64.8%) daripada siswazah, bekerja dalam kategori mahir iaitu seramai 2.96 juta orang.
Walau bagaimanapun, bilangan tersebut merekodkan penurunan 1.2 peratus (-35.8 ribu) susulan pengurangan dalam kategori pengurus manakala dua lagi kategori pekerjaan mahir iaitu profesional dan juruteknik dan profesional bersekutu menyaksikan peningkatan dalam bilangan siswazah bekerja
Pun begitu, pengurangan bilangan siswazah menganggur ini tidak memberi kesan kepada struktur gaji golongan ini.
Khazanah Research Institute (KRI) pula memberitahu, pada tahun berkenaan didapati kira-kira 60 peratus graduan baharu menerima gaji pada paras RM2,000 dan ke bawah.
Maka betullah kata seorang pensyarah di Universiti Malaya pada saya sebelum ini – Penat juga kita ini melahirkan golongan profesional tetapi akhirnya pelajar universiti, menyumbang kepada statistik miskin bandar sebab kadar upah terlalu rendah.
” Kita ini kilang lahirkan golongan profesional, majikan di luar pula rosakkan apa yang kami usahakan dengan sistem gaji ala kadar dan momokan syukurlah asalkan ada kerja,” katanya.
Diharapkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui Pilihan Raya Umum ke-15 semalam dapat menangani masalah ini. Bukan jalan selesainya hanya beri pakej bantuan tertentu yang tidak memberi kesan baik jangka panjang kepada rakyat selain meningkatkan lagi perbelanjaan negara.
Sewajarnya, gaji minimum ditingkatkan melepasi RM2,000. Hakikatnya pun, gaji RM2,000 itu masih di bawah kategori miskin bandar.
Memang pelaksanaan gaji muhasabah mengikut kemahiran dan kelayakan akademik tidak boleh dilaksanakan dalam masa singkat, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha ke arah itu, bukan statik seperti 10 atau 20 tahun lalu.
Dan sewajarnya syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta yang besar ini menjadi perintis kepada sistem gaji bermaruah memandangkan mereka mempunyai kedudukan kewangan yang dikira kukuh dengan menggajikan CEO dengan RM1 juta sebulan tetapi dengan pekerja profesional dan bawahan, mereka kedekut.
Majikan sentiasa menuntut pekerja dalam perubahan sikap untuk maju, kreatif dan berdaya saing. Mahu pekerja berfikir di luar kotak. Tetapi dalam bab gaji, majikan pula masih terlalu lama duduk di dalam kotak, tidak mahu keluar.
Jangan heret isu ini hingga 20 atau 30 tahun lagi. Kasihan pada emak ayah di kampung yang sanggup bergolok bergadai apa saja untuk melihat anak-anak tidak hidup susah seperti mereka.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

The post Hentikan sistem gaji ‘hentam kromo’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *