LUMUT: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung sedang mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Bukit Aman dalam siasatan kes menghina azan di sini bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata bantuan itu diperlukan bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes tersebut.

“Justeru, pihak polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau terus menularkan kes tersebut yang masih dalam siasatan.

“Polis melakukan sedaya upaya untuk mengenal pasti suspek terlibat,” katanya kepada pemberita ketika melakukan operasi pemotongan bekalan elektrik premis terlibat aktiviti perjudian dalam talian di Sitiawan hari ini.

Pada 23 November lalu, IPD Manjung menerima laporan orang ramai berhubung
penularan satu ciapan di dalam ruangan aplikasi Facebook mengenai penghinaan terhadap laungan azan di sebuah masjid dalam daerah Manjung.

Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menyiasat perkara tersebut.

Nor Omar dilaporkan berkata pihak polis akan menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook dikenali sebagai ‘Jacky Chan’ yang memuat naik ciapan berkenaan.

Terdahulu, tular ciapan ditulis ‘Jacky Chan’ yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan laungan azan didakwanya terlalu kuat sehingga menganggu dia tidur. – UTUSAN

 

The post Hina azan: Polis Manjung minta bantuan SKMM, Bukit Aman appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *