PUTRAJAYA: Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjaya mengekalkan kerusi Parlimen P153 Sembrong dengan majoriti lebih besar, iaitu naik 63 peratus kepada 10,880 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU14 lalu, beliau memperoleh majoriti 6,662 undi.

Pada PRU15 kali ini, Hishammuddin berjaya mengalahkan dua lawannya daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dengan mendapat sebanyak 22,572 undi.

Hishammuddin yang juga ketua UMNO Bahagian Sembrong dan bekas Menteri Kanan Pertahanan itu berjaya mengalahkan Hasni Abas dari PH (11,692) dan Aziz Ismail dari Perikatan Nasional (PN) (6,666).

Hishammuddin berkata, pihaknya melahirkan rasa bersyukur tidak terhingga di atas kemenangan di luar jangkaan itu.

“Alhamdulillah, majoriti lebih besar Sembrong P153. Warga #SembrongKita, terima kasih yang teramat sangat. Saya hargai kepercayaan setiap seorang yang memilih saya kali ini. Semoga Allah SWT berkati kemenangan ini,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Pada masa sama, Hishammuddin menambah, rakyat membuat pilihan mereka dalam pilihan raya umum kali ini dan ia merupakan satu keputusan yang harus dihormati serta diinsafi.

“Jelas – tiada satu parti pun berupaya membentuk kerajaan. Parlimen kini tergantung.

“Yang paling penting, negara dan rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dalam melangkah ke hadapan. Ini sebabnya kita mesti bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai dan matlamat yang sehaluan,” katanya.

Hishammuddin turut mengulangi penegasan untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Saya konsisten sejak sebelum ini lagi, dan saya tetap teguh pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan,” jelasnya. – UTUSAN

The post Hishammuddin pertahan Sembrong, majoriti naik 63 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *