BALING: Peralihan kuasa pentadbiran negara kepada pembangkang pada 2018 serta pemotongan peruntukan didakwa menjadi penyebab kerja-kerja pembinaan Hospital Pakar Baling di sini, yang sepatutnya siap pada 2021 tertangguh.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kerajaan BN sebelum ini meluluskan peruntukan kira-kira RM109 juta untuk pembinaan hospital tersebut.

“Namun, apabila peralihan kuasa kerajaan baharu, pembangkang pertikai peruntukan itu dan hanya luluskan RM81 juta sahaja. Ianya menjadi masalah apabila mereka memotong belanja membina hospital itu menjadi RM90 juta, kemudian potong lagi sebanyak 10 peratus kepada RM81 juta, mana mungkin kontraktor boleh menyiapkan hospital ini.

“Namun, selepas diambil alih oleh kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, peruntukan yang asal diluluskan dan pembinaannya dapat diteruskan semula,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan hospital tersebut, hari ini.

Menurutnya, hospital yang dibina sebagai janji BN untuk penduduk di kawasan itu dan sekitarnya memudahkan rakyat kerana mereka tidak perlu ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani yang berjarak hampir 100 kilometer untuk kes-kes yang memerlukan  pemeriksaan pakar.

Abdul Azeez berkata, hospital berkenaan akan memiliki sebanyak 672 unit bilik, 64 katil, tiga bilik bedah utama dan lapan katil unit rawatan rapi (ICU).

“Ini adalah hospital pakar yang merupakan satu kepentingan asas utama untuk rakyat Baling agar mereka mendapat rawatan yang terbaik dan segera. Kepada rakyat Baling, mohon agar terus sokong BN demi melahirkan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur.

“Kita boleh menyambung semula projek-projek yang tertangguh termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), projek perumahan rakyat (PPR) termasuk untuk anak-anak muda, pusat perindustrian dan pelbagai pembangunan lain,” katanya.

Beliau berkata, semua projek yang melibatkan kebajikan, keagamaan, kesihatan dan keselamatan untuk rakyat yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan BN setelah mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“BN tiada perasaan dendam atau marah terhadap mana-mana parti atau pemimpin lain, malah kami akan meneruskan segala projek yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu demi kepentingan rakyat, kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya. – UTUSAN

The post Hospital Pakar Baling tertangguh akibat PH appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *