MELAKA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Adam Adli Abdul Halim yakin kehadirannya sebagai calon di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya dapat diterima akar umbi di Melaka dan cabang berkenaan.

Katanya, beliau sedar bahawa pemilihannya sebagai calon di kawasan tersebut mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)  menimbulkan keresahan kepada PKR Cabang Hang Tuah Jaya.

Beliau turut mengesahkan, hubungannya dengan Ketua PKR Cabang Hang Tuah Jaya, Mohd. Rafee Ibrahim juga dalam keadaan baik, meskipun bekas calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek itu sebelum ini disebut-sebut bakal menggalas tugas bertanding di Parlimen berkenaan.

“Saya sangat baik dengan cikgu Rafee, kita akui dalam media sosial banyak keresahan dan sebagainya.

“Tapi, itu satu perkara yang dibincangkan siapa nak jadi calon, semua orang ada pendapat, ada pandangan masing-masing tapi saya sentiasa berhubung dengan cikgu Rafee.

“Saya sangat hormat terhadap cikgu Rafee, dalam kalangan pemimpin PKR beliau antara yang paling rapat dengan saya dan sering datang buat program di Cabang Hang Tuah Jaya,” katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di Pasar Bukit Beruang dan Pasar Bukit Baru di sini hari ini.

Semalam, Adam Adli diumumkan bertanding di Hang Tuah Jaya bagi menggantikan penyandang kerusi berkenaan selama dua penggal, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin yang berpindah ke Parlimen Bagan Datuk.

Mengulas mengenai peluang kemenangannya, Adam Adli berkata, usaha untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi PKR sejak PRU-13 itu bukan tugas yang mudah.

Katanya, berdasarkan statistik Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di empat kerusi DUN, secara keseluruhannya PH masih mendahului Barisan Nasional (BN) dengan kelebihan antara 2,000 hingga 3,000 undi.

“Saya optimis peluang PKR mempertahankan kawasan ini, walaupun PH tewas di DUN Pengkalan Batu dan Ayer Molek pada PRN Melaka, November lalu.

“Ini kali pertama saya bertanding sebagai calon baharu dan dihantar ke Hang Tuah Jaya dan saya anggap ini satu penghormatan yang besar sebab saya tahu kawasan ini macam mana, saya tahu sejarahnya dan ini satu permulaan yang baik,” jelasnya. –UTUSAN

The post Hubungan dengan ‘cikgu Rafee’ baik, Adam Adli yakin diterima  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *