SAUDARA PENGARANG,

PARA pengundi perlu lebih berhati-hati dengan segala janji manis yang dikeluarkan oleh mana-mana ahli politik termasuk manifesto pilihan raya kerana ia belum tentu dapat dipenuhi sepenuhnya.

Ini kerana tiada saluran undang-undang yang boleh digunakan bagi memaksa parti politik yang terlibat untuk memenuhi semua janji manis yang telah mereka buat dalam manifesto berkenaan.

Kedudukan manifesto pilihan raya yang tidak diikat dengan kuasa undang-undang ini telah jelas ditentukan oleh pihak mahkamah tidak beberapa lama dahulu dalam negara kita.

Jika kita masih ingat pada 2013, Mahkamah Rayuan memutuskan manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah. Berikutan keputusan penting itu, mahkamah telah membatalkan saman sivil difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto ketika pilihan raya umum (PRU) 2008.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd. Rahim dan Datuk Mohamad Ari­ff Md. Yusof membenarkan rayuan kerajaan PKR Selangor dan Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya mengetepikan keengganan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman tersebut.

Hishamudin bersetuju dengan hujahan dikemukakan oleh peguam, A. Vishnu Kumar mewakili kerajaan negeri dan Khalid bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang.

Vishnu Kumar mengemukakan hujah bahawa seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto tersebut.

Undi

Beliau berkata, remedi (penyelesaian) mereka adalah bersifat politik dengan memetik kes mahkamah di England termasuk keputusan hakim terkenal, Lord Denning yang memutuskan remedi pengundi untuk tidak memenuhi janji pilihan raya terletak di peti undi.

Kes mahkamah ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa seseorang yang tidak berpuas hati akibat kegagalan parti politik untuk memenuhi janji manis dalam manifesto pilihan raya tidak boleh menuntut untuk ia dikuatkuasakan.

Dengan tiadanya kuasa undang-undang yang diikat terhadap manifesto pilihan raya, ahli politik atau parti akan mudah melemparkan apa-apa sahaja janji manis ketika berkempen tanpa perlu ada rasa tanggungjawab untuk memenuhi segala janji itu.

Saya berpendapat, sudah sampai masanya kita mengambil satu langkah baharu bagi memastikan setiap janji-janji manifesto yang dibuat ketika pilihan raya dipandang serius oleh mereka yang membuatnya.

Caranya adalah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto pilihan raya ini untuk diberikan satu kuasa undang-undang terhadapnya.

Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada berkaitan proses pilihan raya dalam negara kita seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Cukup-cukuplah pengundi menjadi mangsa penipuan oleh ahli politik dan gabungan parti yang hanya mementingkan diri sendiri dan rakus untuk mendapatkan kuasa. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

The post Hukum mungkir tunai manifesto di peti undi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *