ALOR SETAR: Ibu bapa kepada bayi lelaki berusia tiga bulan yang ditemukan meninggal dunia disyaki akibat dipukul bapanya di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang di sini, dipercayai terlibat dalam pertelingkahan sebelum wanita itu bertindak keluar rumah bagi menyelamatkan diri, baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah dan siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih dilakukan bagi mencari punca sebenar kejadian.

“Dipercayai ketika kejadian isteri suspek berusia 22 tahun lari keluar dari rumah selepas berlaku pergaduhan (antara mereka) dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod berkaitan jenayah dan dadah.

“Semasa kejadian, tiada ahli keluarga lain di rumah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar Program Pelupusan Barang Kes Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini.

Difahamkan, wanita itu bertindak keluar rumah kerana bimbang dengan keselamatannya selepas dia dipercayai turut diugut bunuh oleh suaminya selain tidak tahan sering dipukul sebelum ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, seorang bayi berusia tiga bulan ditemukan meninggal dunia dipercayai dipukul oleh bapanya dalam kejadian di kampung tersebut.

Bayi berkenaan ditemukan ketika anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daripada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyerbu rumah lelaki berusia 28 tahun itu, Ahad lalu.

Ketika serbuan pada pukul 2.50 petang itu, suspek dalam keadaan khayal dan ujian air kencing mendapati dia positif methamphetamine manakala soal siasat awal polis mendapati suspek mengaku memukul bayi berkenaan kerana enggan minum susu dan menangis tanpa henti.

Wan Hassan berkata, suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 17 Oktober ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Laporan bedah siasat terhadap bayi itu belum diterima sepenuhnya namun apabila melibatkan mangsa iaitu bayi yang baru berusia tiga bulan, kita percaya hanya dengan sedikit getaran pun boleh membawa maut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dua lagi anak perempuan suspek berusia satu dan lima tahun sudah menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mengetahui sama ada wujudnya elemen penderaan atau gangguan seksual.

“Sekarang ini dua kanak-kanak tersebut masih lagi dalam pengawasan polis dan dihantar ke HSB bagi pemeriksaan doktor sama ada mereka turut didera,” katanya. – UTUSAN

The post Ibu bapa bergaduh sebelum bayi ditemukan tidak bernyawa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *