PERTH: Tiga kanak-kanak terselamat walaupun terperangkap lebih 60 jam di dalam kereta dengan suhu melebihi 30 darjah Celcius selepas kenderaan itu terlibat kemalangan yang mengorbankan ibu bapa mereka.

Lapor Daily Mail, tiga kanak-kanak itu yang berumur lima, dua dan satu tahun berjaya dikeluarkan daripada kereta jenis Land Rover Discovery milik bapa mereka yang terbalik pada petang Selasa lalu, lebih dua hari selepas kemalangan tragis itu berlaku.

Jake Day, yang memandu kenderaan itu dan pasangannya, Cindy Braddock sudah meninggal dunia ketika kenderaan itu ditemukan oleh saudara mereka kira-kira 10 kilometer dari Kondinin di barat Perth.

Sepupu Day, Michael Read berkata, Day mungkin sudah terlalu letih untuk memandu namun meneruskan perjalanan ke Kondinin ketika Hari Krismas Ahad lalu.

Anak sulung mereka yang berusia lima tahun muncul sebagai wira dalam kejadian tragis itu apabila bertindak pantas menyelamatkan nyawa adik lelakinya dengan membuka tali pinggang keledar yang dipasang pada mereka.

“Ia benar-benar satu keajaiban apabila semua kanak-kanak itu terselamat,” kata rakan keluarga itu, Casey Guyer.

Guyer yang menganjurkan halaman GoFundMe untuk kanak-kanak itu memberitahu, mereka menerima sokongan luar biasa daripada komuniti masyarakat yang turut bersimpati dengan nasib malang yang menimpa mereka .

Kanak-kanak yang masih trauma itu dilaporkan diterbangkan ke Hospital Kanak-kanak Perth kerana mengalami dehidrasi teruk dan keadaan ketiga-tiga mereka kini stabil.

Bekas tenaga pengajar survival tentera, Mike Atkinson, berkata, kanak-kanak itu bernasib baik kerana cermin kereta yang pecah membantu mereka bertahan daripada terkena strok haba.

“Kereta dalam cahaya matahari dengan tingkap tertutup boleh mencecah sehingga 60 darjah Celsius dalam hanya beberapa minit sahaja,” jelasnya.

 

The post Ibu bapa maut, tiga beradik terperangkap 3 hari dalam kereta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *