KUALA LUMPUR: Pengacara, Irma Hasmie, 41, memohon masyarakat agar mendoakan kesembuhan ibunya, Ropitah Abdul Hassan, 66, yang kini diuji dengan penyakit kanser.

Kata Irma, dia berharap doa orang ramai dapat memberi kekuatan kepada ibunya yang sudah satu tahun bertarung dengan penyakit terebut.

“Ibu saya menghidap kanser uterus sejak setahun lalu. Kanser tersebut telah merebak ke organ lain termasuk paru-paru dan hati. Doktor buat masa ini belum mengesahkan tahap kanser yang dihadapinya.

“Pembedahan telah dilakukan dan dia masih menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi untuk mengekang kanser tersebut daripada terus merebak.

“Sebagai seorang anak, perkara ini cukup berat untuk saya hadapi. Saya percaya doa adalah senjata orang mukmin, justeru saya harap orang ramai sudi mendoakan agar ibu saya diberi kesembuhan,” kata Irma ketika ditemui di FINAS, baru-baru ini.

Ujar Irma, dia berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang banyak memberi semangat dan sokongan kepadanya sepanjang berdepan ujian Allah itu.

“Ia bukan satu perkara yang mudah. Sebagai anak, ada waktu saya terduduk dengan apa yang berlaku kepada ibu saya.

“Saya perlu sokongan keluarga dan rakan. Saya bersyukur, ramai yang prihatin dan sentiasa bertanya khabar.

“Keprihatinan mereka itu sedikit sebanyak memberi kekuatan spiritual kepada saya dan keluarga,” kata Irma.

The post Ibu hidap kanser, Irma Hasmie mohon doa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *