MELAKA: Penantian selama lapan tahun seorang ibu untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan buat anak angkatnya berakhir hari ini.

Khadijah Padzli, 63, dari Kampung Tengah Klebang dekat sini tidak dapat menahan sebak selepas Muhammad Syaffiq Izudin Aziz Abdul Rahim, 10, kini sah menjadi warganegara Malaysia.

“Alhamdulillah Allah telah memakbulkan doa saya dan penantian selama lapan tahun, akhirnya anak angkat saya kini sah menjadi warganegara Malaysia.

“Saya ambil Muhammad Syaffiq Izudin Aziz daripada keluarga warga Indonesia ketika dia berusia dua tahun. Pelbagai usaha kami lakukan memohon untuk mendapatkan taraf warganegara.

“Bersama arwah suami, kami turun naik Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya sepanjang tempoh lapan tahun itu kerana saya mahukan anak saya ini hidup seperti rakyat Malaysia yang lain,” katanya.

Khadijah ditemui pemberita selepas menerima sijil warganegara di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Norazle Sulaiman di Kompleks KDN Ayer Keroh di sini hari ini.

Tambah Khadijah, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ban Hong yang telah banyak membantu anak angkatnya mendapatkan sijil warganegara dan sijil kelahiran.

“Dua tahun lalu, arwah suami pergi menunaikan umrah. Namun hajat hendak membawa Muhammad Syaffiq Izudin Aziz sekali tidak kesampaian. Tetapi selepas ini dia sudah boleh pergi ke mana sahaja,” ujarnya. –UTUSAN

The post Ibu lega anak angkat dapat sijil warganegara appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *