MARAN: Seorang ibu tunggal dari Kampung Paya Ladang, Chenor di sini tidak me­nyangka rasa letih melampau, semput dan batuk berterusan merupakan simptom dia menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nonarizam Moha­med Nawawi, 44, berkata, sejak menghidap penyakit itu, rutin kehidupannya berubah 100 peratus kerana tidak mampu lagi menjahit pakaian yang merupakan punca pendapatannya kerana perlu banyak berehat.

Katanya, penyakit itu bermula dengan batuk biasa tetapi tidak sembuh beberapa bulan walaupun makan ubat yang dibekalkan klinik.

“Namun selepas mengalami semput dan sukar bernafas disusuli keletihan melampau, saya dihantar oleh abang ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk diperiksa.

“Masa itu baru saya tahu air penuh dalam paru-paru dan doktor sedut keluar dalam lima botol air,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Ladang, di sini semalam.

Nonarizam berkata, doktor di Hoshas menyarankannya untuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Menurutnya, setelah membuat imbasan Pengimejan Re­so­nans Magnetik (MRI), CT Scan serta didiagnos, dia tidak menyangka sama sekali disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat sejak September tahun lalu.

Nonarizam memberitahu, dia juga kini sedang menanti keputusan ujian darah yang diambil baru-baru ini, bagi memastikan jenis rawatan yang sesuai buatnya.

“Doktor kata kalau keputusan darah sesuai, boleh buat rawatan kemoterapi dalam tiga bulan sekali. Tetapi kalau tidak, terpaksalah teruskan untuk rawatan kemoterapi,” kata­nya yang kini masih menyara ibunya yang berusia 72 tahun dan lima anak berusia lapan hingga 21 tahun dan masih belajar.

“Setakat ini kami hanya bergantung kepada wang sumbangan Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM) berjumlah RM600. Tidak ada sumber pen­dapatan lain lagi,” jelasnya.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Nonarizam, boleh disalurkan ke akaun AgroBank milik Nonarizam Mo­hamed Nawawi di nombor akaun 2-100-1142-00003368-9. – UTUSAN

The post Ibu tunggal tidak sangka hidap kanser paru-paru tahap empat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *