MERSING: Seekor ikan lumba-lumba yang dalam keadaan cedera ditemukan terdampar di Pantai Air Papan, di sini hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mersing, Kapten (PA) Nurnajibah Abdullah berkata, ikan itu ditemukan pada pukul 8.48 pagi selepas disedari Petugas Menara Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika meletakkan bendera amaran di pantai terbabit.

Katanya, ikan seberat 35 kilogram itu didapati mengalami kecederaan pada bahagian ekor.

“Petugas Menara Penyelamat Pantai APM menemukan seekor ikan lumba-lumba di pesisir pantai ketika meletakkan bendera amaran, iaitu kira-kira 800 meter dari menara.

“Petugas cuba melepaskan ikan lumba-lumba tersebut tetapi gagal berikutan air pasang dan ombak kuat. Ekoran itu pihak APM Mersing menghubungi Pejabat Perikanan untuk tindakan selanjutnya. 

“Pejabat Perikanan kemudian mengambil ikan lumba-lumba tersebut dan melepaskannya di Teluk Buih, Mersing,” katanya hari ini.

Ketika kejadian, keadaan cuaca cerah dan kawasan berkenaan sememangnya laluan ikan lumba-lumba. – UTUSAN

The post Ikan lumba-lumba cedera terdampar di Mersing  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *