PERNAH menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Pengerang pada PRU13, Dayangku Intan akur, cabaran dalam dunia politik lebih hebat daripada dunia seni. 

Namun, untungnya anak seni kata Dayang, mereka sudah sedia terlatih dengan sepak terajang dunia hiburan untuk berdepan kutukan, caci maki atau kisah lama yang mungkin disorot semula. Semua itu katanya, tidak begitu memberi tekanan ketika dia bertanding. 

“Sudah tentu, hal lama akan diungkit dan berdasarkan pengalaman sendiri, kita memang tidak dapat lari. Walaupun dimaki atau dicaci, lalui sahaja dugaan itu dengan berhemah. 

“Cuma, jangan  fikir kita artis, orang akan undi kita. Rakyat semakin bijak dan mereka akan menilai terlebih dahuliu kredibiliti dan kemampuan seseorang calon. 

“Mereka mahukan pemimpin yang pandai buat kerja dan zahirkan kepentingan rakyat. Saya sebagai pengundi, mestilah mahukan calon yang meyakinkan. Kita mahukan muka baharu yang ikhlas bekerja. Justeru, artis atau selebriti perlu utamakan keikhlasan dalam berpolitik,” katanya. 

Penyanyi berusia 56 tahun itu juga menasihatkan artis yang bertanding supaya bersungguh-sungguh dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Sekiranya tidak terpilih, kata Dayang, usah putus asa berusaha kerana jika benar ikhlas mahu membantu rakyat dan memajukan negara, peluang pasti datang. 

“Saya sudah lalui pengalaman itu. Ada kala terasa diri seperti dipergunakan. Itu normal. Kalau orang kata politik itu kotor, saya tidak nafikan tetapi kita ada pilihan dalam perjuangan. Saya tidak halang artis sertai politik, malah menggalakkan lagi.

 “Cuma ingat, kita perlukan keikhlasan dalam perjuangan itu. Bukan sekadar tiket untuk jadi ahli politik, sebaliknya kita mahukan gelombang perubahan sebenar,” katanya.

The post Ikhlaskah kita dalam berpolitik? – Dayangku Intan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *