SAUDARA PENGARANG,

PEMIMPIN silih berganti dan kini negara perlahan-lahan pulih daripada krisis kesihatan dan keselamatan yang berpunca daripada penularan Covid-19.

Masalah negara kini sudah berubah dan bertambah yang menuntut langkah pemulihan atau penyelesaian lebih menyeluruh dan pantas. Contohnya, kesan perubahan iklim yang beberapa tahun ini tidak dijadikan isu utama telah mula diberikan perhatian oleh pelbagai pihak.

Begitu juga isu jaminan makanan, ekonomi gig, tenaga boleh diperbaharui dan seumpamanya merupakan topik baharu perlu difahami oleh para pemimpin negara untuk memastikan dasar yang digubal membolehkan negara memiliki imunisasi untuk menghadapi masalah-masalah baharu.

Pasca Covid-19 menuntut perubahan secara radikal dalam kalangan pemimpin supaya pemikiran mereka beranjak selaras dengan perubahan dunia yang berlaku hari ini.

Sudah tentu perubahan ini akan membawa cabaran besar kepada persoalan bersifat falsafah seperti kekuatan jati diri, nasionalisme, kebudayaan yang tidak boleh dikesampingkan oleh sesiapa.

Keruntuhan akhlak yang berpunca daripada normalisasi nilai-nilai buruk seperti rasuah turut memburukkan keadaan.

Bermula daripada sikap pemimpin yang mana bukan sahaja tidak tegas menangani masalah rasuah, malah turut terlibat menyebabkan jenayah ini berlaku di semua peringkat dan sektor.

Masalah ini mendapat perhatian serius Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bertitah bahawa amalan rasuah berlaku pada skala membahayakan berdasarkan kepada laporan Ketua Audit Negara dan penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Rasuah juga menyebabkan maruah negara musnah di peringkat dunia. Pemimpin tidak akan dihormati lagi baik di dalam dan luar negara. Risiko pengkhianatan akan berlaku pada bila-bila masa sehingga meletakkan keselamatan negara di ambang bahaya.

Pemulihan negara pasca Covid-19 perlu bermula daripada titah Sultan Perak agar jenayah rasuah dibendung dengan serius. Perang melawan rasuah akan membolehkan struktur baharu ekonomi dan sosial berdaya tahan boleh dibangunkan untuk menyelamatkan puluhan juta rakyat yang memerlukan perhatian dan keutamaan kerajaan. -UTUSAN

MOHD. ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN
Ahli Sekretariat Inisiatif Melayu Bermaruah (IMB)

The post Iltizam lawan rasuah demi maruah negara appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *