KUALA TERENGGANU: Kira-kira 4,000 mangsa gempa bumi di Hatay, Turkiye ditempatkan di penempatan sementara hasil inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Iman Care.

Tinbalan Pengarahnya, Abdul Muhaimin Mohamed berkata, sebanyak 500 buah khemah sementara dibina oleh pertubuhan tersebut sebagai tanda prihatin terhadap mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

Katanya, khemah tersebut dibina di lokasi berlainan dengan kerjasama Forum Belia Antarabangsa (IYF) dan dikoordinasi Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye.

“Sehari selepas tiba di Hatay dari Kuala Lumpur iaitu pada Sabtu lalu, sukarelawan Iman Care memulakan kerja-kerja membina khemah di beberapa tapak. Setiap khemah boleh menempatkan antara empat sehingga lapan orang atau satu sehingga dua keluarga.

“Selain itu khemah sementara ini juga dilengkapi kuasa tenaga solar, lampu dan pemanas menggunakan kuasa gas,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Terdahulu, rombongan misi kemanusiaan bantuan gempa bumi oleh Iman Care yang diketuai Abdul Muhaimin berlepas ke Turkiye pada Jumaat lalu bagi membantu mangsa bencana berkenaan.

Menurut Abdul Muhaimin, misi 10 hari itu memfokuskan usaha memberi sokongan moral kepada mangsa terselamat selain menyerahkan bantuan makanan, ubat-ubatan, khemah dan kelengkapan lain. – UTUSAN

The post Iman Care bina 500 khemah sementara mangsa gempa bumi di Turkiye appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *