MELAKA: Imej bersih ditampilkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pentadbiran negara sewaktu menjadi Perdana Menteri menjadi kunci pencapaian gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail berkata, fenomena di peringkat nasional merupakan antara punca kejayaan Pas di negeri ini buat kali pertama meraih kemenangan atas tiket PN di Parlimen Tangga Batu dan Jasin.

Menurutnya, kemenangan tersebut jelas membuktikan bahawa rakyat mengimpikan pemimpin yang membawa budaya politik bersih, justeru hanya PN mampu melakukannya.

“Sejak penubuhan PN disertai oleh Pas ia merupakan indikator yang sangat positif kerana parti telah membuktikan kepemimpinan, pentadbiran dan urus tadbir yang bersih bersifat prihatin serta stabil.

“Kejayaan dicapai oleh Pas dan PN di Melaka serta seluruh negara adalah satu fenomena menunjukkan bagaimana rakyat kehausan kepada pemimpin yang membawa budaya politik bersih sebagaimana slogan ‘bersih dan stabil’.

“Ini juga adalah fenomena nasional kerana rakyat hari ini adalah zaman di mana langit terbuka, maka apa yang berlaku di Kelantan, Kedah dan Terengganu yang ditadbir oleh Pas dimaklumi oleh rakyat pada PRU15 ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah di Sungai Udang di sini hari ini.

Zulkifli menang di Jasin dengan majoriti tipis 322 undi selepas memperoleh 27,893 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Roslan Ahmad yang mendapat 27,571 undi; calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Harun Mohamed (21,675 undi) dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Mohd. Daud Nasir (460 undi).

Dalam pada itu, Tangga Batu pula dimenangi Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Bakri Jamaluddin meraih 37,406 undi dengan majoriti 8,849 undi menewaskan empat calon lain iaitu penyandang kerusi daripada PH, Rusnah Aluai; calon BN, Datuk Lim Ban Hong; calon GTA, Ghazali Abu dan calon Bebas, Shahril Mahmood. – UTUSAN

The post Imej bersih PN punca kejayaan Pas di Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *