PETALING JAYA: Impian dua beradik menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di universiti sama tercapai apabila masing-masing ditawarkan tempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam bidang yang mereka ingin ceburi.

Dua beradik tersebut, Nur Arifah Mohd. Hanafiah dari Padang Serai, Kedah, ialah alumni pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UNISHAMS) manakala adiknya, Fakhri Adam alumni Asasi Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik, (STEM) di UMT sesi 2021/2021.

Nur Arifah sebelum ini adalah pelajar cemerlang yang menerima Anugerah Dekan enam semester berturut-turut dengan purata PNGK 3.80.

Katanya, tawaran diperoleh itu adalah kejayaan yang berganda buat dirinya dan keluarga selain bersyukur kerana kini ‘sebumbung’ dengan adiknya dalam menuntut ilmu. 

“Ini impian kami. Insya-Allah saya bertekad meneruskan kecemerlangan di UMT memandangkan UMT adalah antara universiti yang terbaik di Malaysia. Ia juga mempunyai fasiliti lengkap dan menyediakan kemudahan yang baik serta mempunyai pensyarah hebat pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Nur Arifah dan Fakhri Adam adalah antara 2,157 pelajar baharu di UMT bagi program sarjana muda sesi 2022/2023 yang hadir pada sesi pendaftaran, kelmarin.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, terdapat sebanyak 84.75 peratus pelajar yang mendaftar untuk sesi kali ini berbanding dengan 2,545 tawaran yang dikeluarkan.

Katanya,  pendaftaran pelajar sebelum ini dilaksanakan sepenuhnya dalam talian dan kelmarin pelajar hanya perlu mengesahkan pendaftaran, mengambil kunci bilik asrama serta peralatan lain di Dewan Sultan Mizan (DSM), UMT sebelum ke kolej kediaman mereka. 

“Proses kemasukan secara bersemuka berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan sebarang jangkitan COVID-19,” katanya ketika meninjau suasana kemasukan di kolej kediaman. – UTUSAN

 

The post Impian dua beradik belajar di universiti sama tercapai appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *