PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan dengan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus kepada 109.9 mata pada September lalu, menurut Jabatan Perangkaan.

Indeks Pelopor (IP) merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi itu memberi petunjuk ekonomi Malaysia dijangka masih mengekalkan momentum pertumbuhannya walaupun perlahan dan berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global

Ujarnya, kenaikan itu disokong oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan dan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus Lain. 

“Melihat kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan negatif 1.3 peratus pada bulan rujukan berbanding peningkatan 1.8 peratus pada Ogos 2022. 

“Trend menurun ini didorong terutamanya oleh import benar semi konduktor (-0.5 peratus) dan penawaran wang benar, M1 (-0.4 peratus). 

“Melihat kepada indeks arah aliran jangka panjang terlicin yang dicatatkan pada September 2022, ia kekal berada di atas 100 mata,” ujarnya.

Merujuk kepada senario ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan indeks yang lebih baik kepada 121.2 mata pada September 2022, meningkat sebanyak 8.2 peratus berbanding 112.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

Bagi perubahan bulanan pula meningkat 0.6 peratus disokong oleh Indeks kuantiti perdagangan runcit (0.3 peratus). – UTUSAN

The post Indeks Pelopor meningkat, petunjuk ekonomi kukuh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *