MARSEILLE: Biarawati dari Perancis, Lucile Randon yang merupakan individu tertua di dunia meninggal pada usia 118 tahun.

Randon yang dikenali dengan panggilan Sister Andre, dilahirkan di selatan Perancis pada 11 Februari 1904, ketika Perang Dunia Pertama masih berbaki sedekad lagi.

Menurut jurucakap David Tavella, Sister Andre meninggal dunia ketika tidur di pusat jagaan terletak di bandar Toulon.

“Ia merupakan kehilangan besar namun ia adalah hasratnya untuk ‘menyertai’ abang tercintanya. 

“Bagi mendiang, ia merupakan pembebasan,” katanya dari rumah jagaan St. Catherine Laboure. 

Sister Andre sudah lama dinobatkan sebagai penduduk Eropah tertua sebelum kematian Kane Tanaka dari Jepun berusia 119 tahun, yang menjadikan Randon sebagai individu paling lama hidup di dunia.   

Rekod Dunia Guinness secara rasmi mengiktiraf status itu pada April tahun lalu.

Sister Andre dilahirkan pada tahun semasa New York membuka kereta api bawah tanah pertamanya dan apabila jelajah Tour de France hanya diadakan sekali.

Dia dibesarkan dalam keluarga Protestan dan merupakan perempuan tunggal bersama tiga beradik lelaki yang tinggal di bandar selatan Ales.

Sister Andre pernah bekerja sebagai pengasuh di Paris yang mana tempoh itu pernah disifatkannya sebagai masa paling gembira dalam hidupnya untuk berkhidmat kepada anak-anak keluarga kaya.

Sementara itu, pakar umur panjang, Laurent Toussaint berkata, kemungkinan besar penduduk Perancis tertua kini merupakan Marie-Rose Tessier yang berusia 112 tahun.

Katanya, Tessier merupakan seorang wanita yang berasal dari Vendee. – AFP 

The post Individu tertua dunia meninggal pada usia 118 tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *