KUALA SELANGOR: Polis sedang mengesan individu yang tular mencuri barangan dalam kereta seorang penduduk di Taman Melawati Jaya di sini, awal pagi Ahad lalu.

Kejadian pukul 6.10 pagi itu melibatkan kenderaan yang diletakkan di luar pagar rumah dengan tidak berkunci.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, perkara itu disedari selepas mangsa mendapati keretanya dalam keadaan berselerak.

Kata beliau, siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan kawasan perumahan rumah teres dua tingkat.

“Beberapa kenderaan jiran di kawasan itu didapati turut diparkir di hadapan pagar rumah masing-masing.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa kehilangan dokumen penting, dompet dan sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ramli, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai tidak meninggalkan dokumen atau barangan berharga dalam kenderaan yang menarik perhatian penjenayah.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang individu bermotosikal membuka pintu kereta mangsa sebelum melarikan diri. –UTUSAN

The post Individu tular curi barang dalam kereta penduduk appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *