JAKARTA: Indonesia ketika ini berdepan dengan risiko penularan virus polio berikutan sambutan kurang menggalakkan dalam kalangan masyarakat terhadap program vaksinasi mencegah penyakit tersebut.

Ketua Pengarah Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Kementerian kesihatan, Dr. Maxi Rein Rondonuwu berkata, risiko itu boleh dihadapi semua wilayah di seluruh negara.

“Jika kita lihat di 30 wilayah dan 415 bandar serta daerah, kesemuanya termasuk dalam kategori berisiko tinggi untuk dijangkiti polio kerana tahap vaksinasi yang sangat rendah.

“Disebabkan itu, Indonesia berdepan saat genting ketika ini dan jika tiada langkah pencegahan diambil segera, tidak mustahil negara ini sekali lagi bergelut dengan penularan polio,” katanya seperti yang dilaporkan Antara News.

Ketika ini, Indonesia menggunakan vaksin polio yang diberikan secara oral sebagai imunisasi.

Jelas Maxi, vaksin itu perlu diambil sebanyak empat kali dalam tempoh empat bulan.

“Vaksin oral itu kemudiannya perlu diambil dengan vaksin secara suntikan, selain dos penggalak juga diperlukan untuk memberikan perlindungan menyeluruh terhadap kanak-kanak berusia dari sembilan bulan ke atas.

“Namun, pemberian kedua-dua vaksin itu amat rendah, selain ramai ibu bapa takut hendak berikan anak mereka vaksin susulan kes buah pinggang akut yang meragut banyak nyawa sebelum ini,” ujarnya.

Maxi memaklumkan, satu kes poli dikesan di Aceh pada bulan ini berikutan program vaksinasi yang rendah.

Sehubungan itu, Maxi meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada golongan berisiko untuk mendapatkan vaksin, sekali gus mencegah negara ini daripada menjadi ‘hab penularan polio’.

The post Indonesia berisiko jadi hab penularan polio di rantau Asia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *