BLITAR: Agensi Makanan Negara Indonesia (NFA) giat memperkasakan kempen pengambilan telur ayam sekurang-kurangnya sekali sehari sebagai sebahagian daripada usaha memenuhi keperluan nutrisi kanak-kanak, sekali gus mencegah tumbesaran terbantut.

Ketua NFA, Arief Prasetyo Hadi berkata, Hari telur Sedunia disambut bersama penternak ayam di Blitar memandangkan kawasan itu menyumbang 30 peratus pengeluaran telur di Indonesia.

Katanya, telur merupakan antara sumber protein yang boleh didapati pada harga berpatutan, selain senang dimasak.

“Pengambilan sebiji telur sehari dapat memenuhi keperluan protein badan, sekali gus membantu mengelakkan masalah tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak,” katanya seperti yang dilapor Antara News.

Ketua Daerah Blitar, Rini Syarifah memaklumkan, pihak berkuasa tempatan menyokong kempen yang digerakkan NFA untuk kelestarian masyarakat.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Indonesia menyatakan, selain membekalkan nutrien kepada wanita hamil, telur juga baik untuk mengekalkan kesihatan bayi dalam kandungan kerana ia mengandungi kolin yang boleh menyokong pertumbuhan serta perkembangan otak janin.

The post Indonesia galak ambil telur sebiji sehari elak tumbesaran terbantut pada kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *