PETALING JAYA: Barangkali niatnya untuk turun padang belum kesampaian, namun ia tidak membantutkan usaha pelawak dan pelakon, Zizan Razak membantu mangsa banjir, khususnya di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Zizan menerusi platform media sosial, Instagram melancarkan inisiatif dengan mendapatkan maklum balas pelbagai pihak, terutama pemilik kenderaan utiliti sukan 4X4 dalam melicinkan usaha membantu mangsa yang terlibat.

“Alhamdulillah, ramai yang tampil mahu membantu dengan meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi pada ruangan komen di Instagram dan Facebook. Selain itu, ramai turut memuat naik gambar keadaan terkini di kawasan rumah masing-masing.

“Saya berharap menerusi perkongsian di media sosial, sedikit sebanyak dapat membantu penduduk yang sedang dalam kesusahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sejak semalam, Zizan memuat naik tiga hantaran di Instagram, antara lain meminta bantuan individu yang mempunyai kenderaan utiliti sukan 4X4 supaya meninggalkan nombor telefon serta kawasan bagi memudahkan mangsa banjir menghubungi mereka.

Hantaran sama turut dimuat naik dalam ruangan Facebook sehingga mendapat respons meluas rakyat Malaysia.

Dilaporkan, penduduk Taman Sri Muda mula meninggalkan rumah masing-masing dan memindahkan kenderaan mereka ke tempat lebih tinggi selepas kenaikan paras air ekoran hujan lebat sejak pukul 10 malam tadi.

Jumlah mangsa banjir di Selangor sehingga pukul 8 pagi ini merekodkan seramai 848 mangsa, membabitkan 208 keluarga. Sehingga kini, 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di enam daerah melibatkan Petaling, Klang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Sepang.

Daerah Petaling mencatatkan pemindahan tertinggi apabila merekodkan seramai 433 mangsa daripada 104 keluarga dipindahkan di dua PPS.

Sementara itu, Zizan  turut melahirkan perasaan syukur apabila hujan sudah berhenti sejak pagi tadi dan banjir mulai surut di beberapa kawasan.

“Kalau ikutkan, saya ingin meninjau beberapa kawasan yang dilanda banjir hari ini. Namun, apabila ramai pemandu 4X4 sudah bersiap siaga dan cuaca juga semakin baik, saya hanya mengikuti perkembangan dari jauh dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zizan memaklumkan akan pulang ke kampung di Terengganu, esok bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

The post Inisiatif Zizan Razak bantu mangsa banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *