PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Amerika Syarikat terutama di sekitar Monterey Park supaya lebih berhati-hati dan segera menghubungi pejabat perwakilan Malaysia jika ada keperluan. 

Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diploma Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong berharap pihak kedutaan besar Malaysia di Washington DC dan pejabat Konsulat Jeneral di Amerika Syarikat akan terus memantau keadaan keselamatan di negara berkenaan. 

“Ini juga selain memberi khidmat nasihat atau bantuan yang diperlukan kepada rakyat di sana.

“Terdapat sekurang-kurangnya 36 kes tembakan besar-besaran telah dilaporkan berlaku di seluruh Amerika Syarikat setakat bulan ini. 

“Selain itu, MCA juga mengambil maklum bahawa kerajaan Amerika Syarikat ketika ini sedang berusaha serta masih berhadapan dengan sentimen Anti-Asia dan jenayah kebencian terhadap penduduk berketurunan Asia di Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Media melaporkan berlaku insiden tembakan di kelab tarian di bandar Monterey Park, California, dekat Los Angeles pada Sabtu lalu. 

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif di sebalik kejadian itu.

Suspek yang dikenali sebagai Huu Can Tran, 72, dilaporkan maut selepas menembak dirinya sendiri.

Pada Ahad lalu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden turut mengarahkan bendera di semua bangunan kerajaan dikibarkan separuh sehingga Khamis ini sebagai menghormati mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu. – UTUSAN

The post Insiden tembakan Monterey Park: Rakyat Malaysia segera hubungi pejabat perwakilan  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *