GEORGE TOWN: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama lima hari bermula hari ini kerana disyaki menerima dan meminta rasuah sebanyak RM10,000.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret di sini.

Difahamkan Inspektor polis berusia 32 tahun itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di salah sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) di negeri ini.

Suspek ditahan kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi oleh SPRM di Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas di sini.

Menurut sumber SPRM, suspek disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM10,000 bagi melepaskan dua individu iaitu pengadu yang telah ditangkap di atas kesalahan menjual air ketum.

“Suspek disyaki meminta wang rasuah tersebut daripada individu berkenaan menerusi panggilan telefon.

“Suspek meminta RM20,000 daripada individu berkenaan, namun hanya memperoleh RM10,000,” katanya di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

The post Inspektor polis dipercayai minta rasuah RM10,000 direman 5 hari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *