TAMPIN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa beliau yang akan mengumumkan cuti umum selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diperoleh pada 19 November nanti.

Keyakinan PH akan memenangi PRU15 dan beliau akan menjadi Perdana Menteri itu diucapkannya ketika menyampaikan ceramah pada program Jelajah Mega Harapan di Dataran Taman Indah, di sini semalam.

“Manifesto Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan oleh Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) apa dia? yang pertama cuti, yang nak umum cuti itu bukan dia, insya-Allah yang nak umum cuti itu saya,” katanya turut disambut sorakan penyokongya yang hadir pada program berkenaan.

Turut hadir pada program tersebut, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun dan calon PH bagi Parlimen Tampin, Muhammad Faiz Fadzil.

Ketika majlis pengumuman manifesto PN di ibu negara kelmarin, Muhyiddin yang juga Pengerusi gabungan parti itu berkata, cuti umum akan diberikan jika PN diberi mandat oleh rakyat pada PRU15.

Beliau berkata, inisiatif tambahan dalam manifesto mereka itu adalah bagi memudahkan orang ramai yang terpaksa pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR turut mempersoalkan cadangan PN bagi melaksanakan pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Yang kedua, keluarkan wang KWSP, apa punya idea ini, wang KWSP kita cadang setahun setengah yang lalu, dua tahun, sekarang tidak ada wang dah, macam ini nak jadi Perdana Menteri? ” soalnya.-UTUSAN.

The post Insya-Allah, saya yang umum cuti – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *