DUBAI: Badan kehakiman Iran mengesahkan pihaknya sudah melaksanakan hukuman mati terhadap seorang warga Britain-Iran, Alireza Akbari yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri pertahanan negara itu.

Alireza dijatuhi hukuman mati atas tuduhan menjadi perisik utama bagi pihak Britain.

Kerajaan Britain yang sebelum ini menggesa pembebasan Alireza dan menyifatkan kes terhadap pemimpin itu sebagai bermotifkan politik, mengecam hukuman mati dilaksanakan Iran.

Agensi berita Mizan melaporkan berita hukuman mati Alireza pada hari ini, tanpa memaklumkan bila ia berlaku.

“Alireza dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan rasuah dan melakukan tindakan yang mengancam keselamatan dalaman dan luar negara melalui pengintipan untuk perkhidmatan perisikan kerajaan Britain.

“Hukuman mati Alireza sudah dilaksanakan,” jelas laporan itu.

Laporan berita itu mendakwa bekas pegawai kanan itu didapati bersalah menjalankan pengintipan untuk agensi perisikan British MI6 sebagai pertukaran bagi memperoleh gaji lumayan dalam mata wang asing.

Laporan Mizan mendakwa Alireza yang ditahan pada 2019, menerima bayaran sebanyak 1,805,000 euro (RM8,477,004), 265,000 pound (RM1.404 juta) dan AS$50,000 (RM261,749) bagi pengintipan.

Alireza yang berkhidmat dalam Kabinet bekas Presiden Iran, Mohammad Khatami (1997-2005), didakwa mengintip isu berkaitan pertahanan dan hal ehwal peluru berpandu negara itu, sekatan, rundingan nuklear dan isu serantau.

Pelaksanaan hukuman mati itu bakal memburukkan lagi ketegangan antara Iran dan Barat sejak rundingan untuk memulihkan perjanjian nuklear pada 2015 menemui jalan buntu dan ketika Teheran melancarkan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan tahun lalu.

Dalam satu rakaman audio disiarkan oleh BBC Persian baru-baru ini, Alireza berkata, dia terpaksa mengaku bersalah atas jenayah yang tidak dilakukannya selepas diseksa teruk. – REUTERS/AGENSI

The post Iran laksana hukuman mati terhadap Alireza Akbari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *