IPOH: Islam merupakan kekuatan yang mengukuhkan kedaulatan seorang raja pemerintah yang berkedudukan sebagai wakil yang dipertanggungjawabkan dengan amanah Allah di bumi ini.

Dalam khutbah Jumaat yang dibacakan di masjid-masjid negeri ini hari ini bertajuk ‘Islam Meningkatkan Kedaulatan Raja-Raja Melayu‘ bersempena sambutan rasmi ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kali ke-66 hari ini, kandungannya menyentuh mengenai kedaulatan merupakan aspek utama yang memberikan kesahihan, sekali gus mencorakkan sistem perlembagaan sesebuah negara. 

Menurut teks khutbah yang dibacakan, kedaulatan negara berpaksikan pada kedudukan raja-raja Melayu iaitu sembilan buah negeri yang menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 ialah negeri-negeri yang diperintah oleh raja Melayu yang meneruskan kedaulatan bersumberkan ajaran Islam dan bersendikan adat Melayu. 

Jelasnya, Islam dan Institusi Raja Melayu merupakan unsur teras jati diri bangsa, kedaulatan bersumberkan Islam menetapkannya milik mutlak Allah SWT dan kedudukan insan yang dikurniakan kedaulatan sebagai pemegang amanah.  

“Nyatalah Islam merupakan kekuatan yang mengukuhkan kedaulatan seorang raja pemerintah. Seorang raja pemerintah itu berkedudukan sebagai wakil yang dipertanggungjawabkan dengan amanah Allah di bumi ini. Darjat raja pemerintah kurniaan Ilahi, sebenarnya ialah tugas dan tanggungjawab. 

“Dari sudut khilafah, iaitu sistem pemerintahan umum berteraskan syariah, khalifah disifatkan sebagai pengganti Rasulullah SAW untuk menjaga urusan agama, politik dan dunia dengan cara pemerintahan berpandukan sunah Rasulullah SAW. 

“Pada hakikatnya, kalimah syahadah yang dilafazkan oleh ketua negara dan ahli syura yang menguruskan pemerintahan dan kerajaan, ialah pernyataan penting pelestarian kedaulatan bersumberkan ajaran Islam.  Dalam kalimah syahadah, terkandung pengakuan sifat uluhiyyah bagi Allah SWT,”  jelas khutbah tersebut.

Kandungan khutbah menegaskan, seorang ketua negara beragama Islam tidak boleh melucutkan kewajipan untuk memenuhi perintah Allah SWT apatah lagi dalam kedudukan sebagai ketua agama dan pemerintah tertinggi, menegakkan pemerintahan berlandaskan hukum Allah terkandung dalam sumpah jawatan Sultan Perak. 

Katanya, kuasa pemerintahan itu adalah amanah daripada Allah SWT yang perlu disempurnakan bertunjangkan keadilan, syura dan baiah. 

“Raja yang adil ialah raja yang menyantuni setiap lapisan rakyat jelata. Menurut Imam al-Ghazali dalam karyanya ‘Nasihat al-Muluk’ (nasihat buat raja-raja), seorang raja yang baik, ialah raja yang dihormati dan disayangi oleh rakyat kerana peribadi, kesolehan dan keadilannya.

“Oleh sebab itu, wajarlah seorang raja itu berusaha agar dirinya disayangi rakyat, kerana dengan kasih sayang rakyat terhadap dirinya, akan membawa permuafakatan dan kesatuan dalam wilayah kerajaannya. 

“Malah amat perlu bagi raja pemerintah, pada setiap masa mendapatkan maklumat balas daripada rakyat bawahan tentang pandangan mereka terhadap pemerintahan, agar membolehkan raja pemerintah berusaha memperbaiki kelemahan dan kepincangan yang berlaku di dalam negeri,” kata khutbah tersebut. 

Kandungan khutbah menyentuh mengenai nasihat Imam al-Ghazali agar para pemerintah tidak mencari kasih sayang manusia dengan melakukan perkara-perkara yang meskipun popular atau disukai ramai, tetapi bertentangan dengan syarak. Imam al-Ghazali memperingatkan akal ialah punca terbitnya segala kebahagiaan dan kesejahteraan. 

Dengan tunduknya nafsu (shahwah) dan kemarahan (ghadab) kepada akal, tegas kandungan khutbah, maka seorang raja pemerintah itu akan mengekang dirinya daripada bersifat takabbur. 

Malah, ditegaskan pentingnya seorang raja bersifat adil yang dicerminkan dalam wa’ad atau perjanjian antara raja dengan rakyat, melalui kata-kata, ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’. 

“Islam menegaskan agar seorang raja pemerintah itu menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sifat-sifat mahmudah, mengurus tadbir negeri dengan ilmu dan kebijaksanaan dan berusaha memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat, mencetus pelbagai idea untuk memakmurkan negeri dan memikirkan pelbagai kaedah untuk menyelesaikan pelbagai isu dan kemelut yang melanda negeri. 

“Sesungguhnya raja pemerintah diamanahkan dengan tanggungjawab berat untuk memastikan negerinya aman dan damai, rakyatnya hidup dalam rukun dan damai, di samping dapat menikmati kemakmuran ekonomi yang diagihkan secara adil lagi saksama. Oleh itu amatlah penting raja pemerintah itu dibantu dan dipagari oleh para ulama dan umara yang taat dan setia memenuhi tuntutan Allah dan Rasul yang ikhlas dan jujur serta yang berilmu dan berpengetahuan,” kata khutbat tersebut. – UTUSAN

The post Islam kukuhkan kedaulatan raja-raja Melayu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *