BAITULMUQADDIS: Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin dan mencederakan berpuluh-puluh lagi dalam satu serbuan di Tebing Barat.

Lapor BBC, sewaktu kejadian, letupan dan tembakan kedengaran ketika tentera Israel memasuki bandar lama Nablus.

Kehadiran mereka mencetuskan pertempuran bersenjata dengan kumpulan bersenjata Palestin.

Tentera Israel berkata, mereka membunuh tiga pejuang dikehendaki yang bersembunyi di dalam sebuah rumah dan enggan menyerah diri.

Bagaimanapun, beberapa orang terbunuh di kawasan luar rumah berkenaan, termasuk dua lelaki warga emas.

Kementerian kesihatan Palestin berkata, Adnan Saabe Baara yang berusia 72 tahun adalah salah seorang daripada mereka yang terkorban.

Rakaman video turut menunjukkan mayat warga emas itu terlentang dalam keadaan memeluk beg roti di seberang jalan di kawasan yang biasanya merupakan kawasan pasar yang sibuk.

The post Israel tembak mati 11 rakyat Palestin, puluhan lagi cedera appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *