LONDON: Istana Buckingham mendedahkan beberapa butiran mengenai istiadat pertabalan Raja Charles III yang akan menyaksikan sambutan selama tiga hari di seluruh negara. 

Lapor CNN, Istana Buckingham dalam satu kenyataan memaklumkan, hari pertabalan Raja Charles III akan diadakan pada 6 Mei depan.

Menurut kenyataan itu, sambutan bagi upacara bersejarah itu akan bermula Sabtu dan berakhir pada Isnin iaitu 8 Mei 2023.       

Acara sambutan itu turut merangkumi istiadat makan tengah hari dan konsert pada 7 Mei, diikuti cuti umum di seluruh negara pada 8 Mei 2023.

Orang ramai dijemput untuk menyertai The Big Help Out dengan menjadi sukarelawan bagi menjayakan upacara bersejarah itu.

Menurut kenyataan itu, istiadat pertabalan itu akan dilakukan mengikut upacara keagamaan dan dikendalikan oleh Ketua Biskop Canterbury, Justin Welby.

Tambah kenyataan itu, istiadat pertabalan itu akan menggabungkan tradisi lama dan moden selain mencerminkan peranan Raja Charles di masa hadapan.

Sementara itu, Setiausaha Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan United Kingdom (UK), Michelle Donelan mengalu-alukan kehadiran orang ramai dalam memeriahkan lagi sambutan.

“Semua penduduk dijemput untuk turut serta pada mana-mana hari.

“Sama ada dengan mengadakan sambutan sendiri atau menyaksikan istiadat pertabalan di kaca televisyen atau melibatkan diri dalam inisiatif ‘The Big Help Out’,” katanya.

The post Istana Buckingham dedah butiran pertabalan Raja Charles III appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *