PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempertimbangkan bentuk tindakan kawal selia ke atas pihak pengurusan stesen Awesome TV.
Agensi tersebut menerusi kenyataan berkata, operator saluran swasta itu, Awesome Broadcasting Sdn. Bhd. kemungkinan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menetapkan sebarang operasi penyiaran stesen televisyen harus mematuhi peraturan dan syarat lesen individu bagi Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP).
MCMC melalui kenyataan itu menyatakan operator tersebut didapati melanggar Seksyen 36 akta berkenaan namun tidak merujuk insiden kes apakah dimaksudkan secara spesifik.
Pada 20 Februari lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil ketika sesi lisan di Parlimen mendedahkan bahawa Awesome TV ada menyiarkan berita fitnah, malahan sudah dipaparkan menerusi slot Berita 7:57 di saluran itu sebanyak enam kali dan terbaharu pada 15 Februari lepas mengenai konon isu pengurangan penjawat awam.
Susulan pendedahan berkenaan, pihak pengurusan syarikat tersebut dipanggil untuk memberikan penjelasan kepada MCMC sebagai memandang berat isu pematuhan pelesenan dan komited memastikan tahap pematuhan operator.
“Kegagalan pemegang lesen CASP itu merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan wajar mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya.
Awesome TV merupakan stesen televisyen terestrial digital yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan melancarkan siaran percuma ke seluruh negara sejak 3 Ogos 2020 lepas. – UTUSAN
The post Isu berita fitnah Awesome TV: MCMC pertimbang tindakan appeared first on Utusan Malaysia.