MELAKA: Dakwaan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin sudah berkubur ekoran peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa bahagian itu dan seluruh kepemimpinan Srikandi Melaka adalah tidak benar.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, ini kerana mengikut Perlembagaan Bersatu tidak ada terma yang menyebut apabila ahli meletakkan jawatan, maka sesuatu bahagian itu berkubur sebaliknya berfungsi seperti biasa.

“Apabila ada ahli parti mengambil keputusan keluar parti, sudah tentu ada ahli lain yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

“Pemimpin datang dan pergi sudah menjadi lumrah dalam mana-mana parti. Siapa yang tidak mampu ikut arus yang ditetapkan parti, kami tak menghalang untuk mereka pergi,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya di Ayer Keroh di sini hari ini.

Mohd. Yadzil yang juga Ketua Bersatu Bahagian Jasin mengulas mengenai keputusan Timbalan Ketua Bahagian, Mustaffar Ahmad dan Ketua Srikandi Bahagian, Azalina Abdul Rahman yang mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuatkuasa serta merta hari ini.

Kedua-dua mereka turut mendakwa beberapa bahagian lain seperti Hang Tuah Jaya, Tangga Batu dan Kota Melaka juga akan mengikut jejak langkah mereka.

Mengulas lanjut, Mohd. Yadzil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban berkata, keputusan kumpulan itu sama sekali tidak menjejaskan jentera parti memenangkan calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tegasnya, beliau turut menyelar dakwaan kumpulan terbabit bahawa Ketua Armada Bahagian dan seluruh jentera turut akan meninggalkan parti.

“Lewat petang tadi saya hubungi Ketua Armada dan dia maklumkan akan berdiri teguh dan tidak sama sekali akan keluar parti seperti mana yang dilakukan mereka yang lain,” ujarnya. – UTUSAN

The post Isu Bersatu Jasin: ‘Pemimpin keluar parti, bahagian tak berkubur’ – Mohd. Yadzil appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *