PUTRAJAYA: Isu gangguan capaian internet di Perkampungan Orang Asli di Bihai dan Balar, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini sudah diselesaikan pada 5 Januari lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan akhbar berkata, menara telekomunikasi di Pos Balar sudah berjaya diaktifkan dan kembali beroperasi seperti sediakala.

Menurutnya, siasatan mendapati, gangguan itu berlaku disebabkan penjana kuasa yang kehabisan minyak diesel.

“Ia berpunca daripada gangguan bekalan elektrik yang menggunakan penjana kuasa (genset) pada menara telekomunikasi di Pos Balar.

“Lokasi kedua-dua perkampungan tersebut dianggarkan sejauh 300 kilometer (km) dari Kota Bharu di mana akses untuk ke kawasan itu agak sukar dengan melalui jalan tidak berturap dan berbukit sehingga 70 km.

“Laluan ke Pos Balar juga terhalang disebabkan kejadian tanah runtuh sekali gus menyukarkan penghantaran bekalan diesel ke menara tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, SKMM berkata, pihaknya merancang jalan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang bagi meningkatkan isu capaian internet di Pos Bihai dan Balar itu.

Menurutnya, bagi jangka masa panjang, pihaknya bersama CelcomDigi akan membangunkan satu menara telekomunikasi berdekatan Pos Bihai dan satu lagi struktur pemancar di Dakoh.

“Bagi penyelesaian sederhana pula, kami merancang menambah kapasiti backhaul Very Small Aperture Terminal (VSAT) bagi setiap pemancar sedia ada di Kampung Tandrik, Pos Belatin, dan Pos Balar dari 4 Mbps kepada 10 Mbps secara sementara.

“Bagi penyelesaian jangka pendek, pihak kontraktor bersetuju meningkatkan kuota penggunaan internet percuma sedia ada dari 8 GB kepada 12 GB setiap bulan bagi setiap pengguna,” katanya.

Katanya, pihaknya akan terus memantau terhadap tindakan dan mengambil langkah susulan agar masalah capaian internet dapat ditangani dengan menyeluruh. – UTUSAN

The post Isu gangguan internet di Pos Bihar, Balar selesai – SKMM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *