KOTA BHARU: Pas mahu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu merujuk Kelantan sebagai jawapan berkaitan  persoalan yang ditimbulkannya mengenai pendirian parti itu terhadap judi, rasuah dan Rang Undang-Undang 355 (RUU355).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada premis dibenarkan mengendalikan atau menjalankan kegiatan perjudian sepanjang 32 tahun Pas memerintah Kelantan.

“Dia (Mat Sabu) kena tengok di Kelantan lah. Ada judi tak di negeri ini? Itulah pendirian Pas. Tidak ada permit dikeluarkan untuk kegiatan perjudian.

“Tiada langsung perjudian di Kelantan… ‘totally zero’. Sifar perjudian di Kelantan,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan badminton di Dewan Badminton Carmaju, Tanjung Mas, di sini hari ini.

Penyandang Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut memaklumkan bahawa sudah ada undang-undang hudud di Kelantan tetapi belum sempat dilaksanakan di peringkat negara.

Katanya, Pas tidak boleh membuat keputusan di peringkat negara secara bersendirian kerana parti itu hanya sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan tidak memerintah bersendirian.

“RUU355 adalah Akta Mahkamah Syariah Bidang Kuasa Jenayah dan ia bukan hudud. Saya nak tanya Mohamad adakah beliau akan menyokong RUU355?

“Adakah parti Amanah akan menyokong kalau Pas bawa RUU355 dalam Parlimen? Saya minta beliau jawab,” katanya.

Utusan Malaysia melaporkan parti Amanah mempersoalkan pendirian Pas tentang isu judi, rasuah dan RUU355 yang kononnya menjadi perjuangan parti itu sebelum ini.

Mohamad mendakwa, Pas sebaliknya tidak layak memimpin negara kerana tiada pendirian tetap selain hanya ‘menunggang’ kaum Melayu dan agama Islam.- UTUSAN

 

The post Isu judi, rasuah, RUU355 rujuk Kelantan sebagai jawapan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *