GEORGE TOWN: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sedia berdebat dengan Pengerusi MCA yang juga Menteri Pengangkutan; Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berhubung isu pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, Ka Siong boleh mengatur masa dan lokasi debat itu namun seboleh-bolehnya diadakan di Pulau Pinang memandangkan isu terbabit melibatkan kepentingan di negeri itu.

Dalam masa sama, Guan Eng turut menafikan dakwaan Ka Siong yang mana beliau menjadi punca projek naik taraf dan pembesaran LTAPP tertangguh termasuk tidak menggunakan dana kerajaan seperti yang diperuntukkan menerusi Bajet 2018.

Menjelaskan dakwaan itu, kata Guan Eng, peruntukan seperti dinyatakan itu dibuat secara umum dan tidak secara spesifik menyebut bagi projek menaik taraf dan pembesaran LTAPP sekali gus meminta Ka Siong mengemukakan bukti dana RM700 juta diluluskan kerajaan ketika itu khusus untuk projek tersebut.

Malah ujar beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu juga tidak membuat permohonan merancang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf dan pembesaran LTAPP dapat dimulakan.

“Sehinggalah selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah dan saya menjadi Menteri Kewangan dan Anthony Loke menjadi Menteri Pengangkutan, kita menyokong permohonan Malaysia Airport Sdn. Bhd. bagi mendapatkan kebenaran merancang menaik taraf dan pembesaran LTAPP itu daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Kebenaran itu juga sudah diluluskan bermula dari tarikh 3 Disember 2019, namun kerja-kerja itu tidak dapat dilakukan berikutan peralihan kerajaan pada Februari 2020 dan dihentikan selepas Peikatan Nasional (PN) memerintah,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP, di sini hari ini.

Kelmarin, Ka Siong ketika turun berkempen di Teluk Kumbar, Bayan Baru dekat sini dilaporkan berkata, projek menaik taraf dan pembesaran LTAPP itu sepatutnya telah lama dimulakan sekiranya Guan Eng menggunakan dana kerajaan.

Malah, beliau turut dilaporkan bersedia berdebat dengan Guan Eng berhubung isu tersebut.

Sementara itu, Guan Eng yang juga calon PH kerusi Parlimen Bagan turut menggesa Ka Siong berhenti membuat dakwaan dan tuduhan tidak berasas terhadap beliau berhubung isu terbabit.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Ka Siong mengambil tanggungjawab berhubung gangguan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terjejas semalam sehingga menyebabkan ramai pengguna terkandas. – UTUSAN

The post Isu naik taraf LTAPP; Guan Eng sedia debat dengan Ka Siong appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *