PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan mahu Kerajaan Negeri Kedah lebih bertanggungjawab berhubung isu bina semula dan baik pulih rumah mangsa banjir di Baling, Kedah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kos baik pulih atau bina semula itu mungkin milik Kerajaan Persekutuan, namun kerajaan negeri juga harus mengambil tanggungjawab sama.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, keputusan pilihan raya umum lalu memperlihatkan bahawa Kedah mendapat kejayaan 100 peratus untuk kerusi Parlimen.

“Jadi mereka harus menterjemahkan sokongan rakyat ini dengan memberikan bantuan rakyat 100 peratus tanpa adanya sebarang usaha lain.

“Saya yakin Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mampu melakukannya sebagaimana beliau mampu bercakap dalam pentas-pentas politik,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Ahmad Zahid berkata, sebanyak lapan buah rumah mangsa banjir di Kupang, Baling sudah siap dibina pada November lalu.

Katanya, dua daripada rumah berkenaan sudah didiami semula, manakala enam buah lagi rumah kosong tanpa penghuni.

“Saya juga dimaklumkan 34 buah rumah mangsa banjir di kawasan itu sudah siap dibaik pulih,” katanya yang memaklumkan rumah berkenaan disiapkan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), agensi di bawah kementerian.

Dalam kejadian banjir dan kepala air di Baling pada 4 Julai lalu, banyak rumah mangsa terjejas dan dihanyutkan air.

Malah, sebelum ini, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan bagi membina rumah jenis teres di atas tapak seluas satu hektar di Desa KEDA Sadek di Kupang.

Rumah itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan dan akan diberikan kepada keluarga yang hilang tempat tinggal atau rumah mengalami kerosakan sehingga 80 peratus serta tidak boleh didiami berikutan bencana itu. – UTUSAN

The post Isu rumah mangsa banjir Baling: Kerajaan Kedah perlu lebih bertanggungjawab appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *