KUANTAN: Isu membabitkan kira-kira 30 rumah yang mengalami keretakan serius struktur binaan di sebuah taman perumahan di Tanjung Lumpur di sini akan diselesaikan secara sistematik demi keadilan pembelinya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Johari Harun berkata, ia akan membabitkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), pembeli, pemaju perumahan termasuk arkitek dan jurutera profesional yang terlibat dalam projek perumahan tersebut.

Jelasnya, pihak terbabit akan melakukan bancian bagi mengenalpasti berapa rumah terlibat dan kerosakan yang berlaku.

“Bancian ini akan dibuat selama seminggu bermula Isnin ini, diharapkan semua pembeli dapat turut serta dan berada di rumah masing-masing ketika ia dilakukan.

“Selepas proses bancian selesai, kata putus akan dibuat bagi menyelesaikan masalah berkenaan. Selain itu, saya juga akan mengadakan perbincangan dengan pemaju projek pembetungan di sebelah perumahan ini yang didakwa punca isu ini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas meninjau dan mengadakan pertemuan dengan pembeli di taman perumahan itu di Tanjung Lumpur di sini hari ini.

Pada 6 November tahun lalu, bekas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendedahkan rungutan penduduk di taman perumahan itu yang kecewa rumah yang dibeli mereka mengalami kerosakan struktur binaan yang serius sehingga tidak boleh diduduki.

Mengulas lanjut, Johari mempersoal bagaimana projek perumahan terbabit boleh mendapat kelulusan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) pada April tahun lalu.

“Kerosakan serius struktur binaan menjadi persoalan dan CCC pula diluluskan dan ini persoalan yang besar. Saya difahamkan CCC dilulus sedangkan sebelum itu penduduk mendakwa sudah ada keretakan.

“Daripada keretakan kecil, akhirnya menjadi besar dan saya ingin tahu mengapa perkara itu boleh berlaku. Justeru, saya mahu berjumpa dengan arkitek terbabit berhubung kelulusan CCC ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pemaju perumahan memberikan komitmen sedia membaiki kerosakan rumah yang terlibat, namun selepas projek pembetungan di situ dihentikan.

“Saya akan membantu menyelesaikan isu ini dengan sebaiknya demi kebajikan dan hak pembeli terbela serta memberikan perhatian secara berjadual sehingga ia dapat diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

The post Isu rumah retak di Tanjung Lumpur di selesai secara sistematik demi keadilan pembeli – Johari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *