PUTRAJAYA:  Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan kenapa tiada  siasatan atau tindakan diambil terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang didakwa melindungi dan melepaskan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada skandal  1MDB.

Dalam klip video dikongsi di media sosial  Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini,  beliau berasa hairan dengan perkara tersebut.

“Bagaimana Apandi mudah melepaskan Najib sedangkan sembilan hakim (seorang hakim mahkamah tinggi, tiga hakim mahkamah rayuan dan lima hakim mahkamah persekutuan) kesemuanya mendapati Najib bersalah.

“Amat pelik kenapa sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap Apandi yang jelas telah melakukan pelbagai kesalahan semasa dia menjadi Peguam Negara sebelum Thomas,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar pada 23 Mei lalu, di dalam penghakiman bertulis setebal 100 muka surat telah membuat kesimpulan bahawa Apandi adalah seorang penipu.

“Azimah juga menyatakan Apandi gagal melaksana tugas sebagai Peguam Negara malah, ada asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindung jenayah 1MDB,” kata bekas Perdana Menteri itu.

SKANDAL 1MDB

Selain itu, katanya, Azimah turut mempersoal sikap dan tindakan Apandi yang bersungguh-sungguh menutup skandal 1MDB dan `menyucikan’ Najib.

Dr. Mahathir juga mempersoalkan kenapa Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh kerajaan hanya kerana kerajaan terdahulu menamatkan perkhidmatannya kerana beliau gagal menjalankan tugasnya.

“Tidak cukup dengan pampasan, Apandi juga telah dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak ada  halangan terhadap siasatan yang dibuat terhadap buku yang ditulis Tan Sri Tommy Thomas.

 “Namun, jika dirasa ada asas terhadap tuduhan yang dibuat terhadap bekas Peguam Negara itu ataupun sesiapa sahaja termasuk saya, undang-undang ada untuk tindakan seterusnya.

“Saya sebenarnya sudah menduga, setiap kali saya bersuara mengenai salah laku kerajaan akan ditimbul perkara-perkara sebegini untuk menutup mulut saya.

 “Mereka boleh cuba, tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa selagi ada hayat, saya tidak akan bisu, buta atau tuli apabila melihat kemungkaran yang mereka lakukan,” katanya.- UTUSAN

The post Isu `sucikan’ Najib kenapa Apandi lepas,  isu Tommy siasat jika ada asas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *