SAUDARA PENGARANG,

PENDUDUK Taman Kinrara Seksyen 5, Puchong, Selangor mengadakan satu perhimpunan protes pada 24 September lalu bertempat di padang bola sepak kawasan perumahan berkenaan.

Mereka memohon campur tangan langsung Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan menuntut penyelesaian kekal bagi dua isu.

Pertama, isu jalan utama memasuki Taman Kinrara Seksyen 5 (Jalan TK 5/32) yang masih belum dibina sejak 1990. Malah, kini rizab tanah yang dikhaskan untuk pembinaan jalan itu diduduki oleh syarikat swasta dan dipercayai aktiviti yang sedang berlaku di tapak ini tiada kelulusan daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Kedua, aktiviti pelupusan sampah secara haram serta pembuangan sampah di tebing Sungai Klang (Jalan TK 5/20) dan di sekitar kawasan perumahan Taman Kinrara Seksyen 5 yang telah wujud sejak lima tahun lalu.

Kumpulan-kumpulan tegar yang terlibat ini cenderung mengulangi aktiviti haram mereka walaupun ada tindakan penguatkuasaan.

Masalah ini berlaku berulang kali setiap tahun dan penduduk menuntut penyelesaian kekal daripada kerajaan negeri.

Justeru, kami memohon perhatian langsung dan tindakan daripada Menteri Besar Selangor kerana kedua-dua masalah ini masih tiada penyelesaian kekal sehingga hari ini.

Kami akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat bagi menyiasat kewujudan unsur-unsur rasuah sekiranya ada.-UTUSAN

JAWATANKUASA BERTINDAK PENDUDUK TAMAN KINRARA SEKSYEN 5,
Puchong

The post Isu Taman Kinrara Seksyen 5, Puchong perlu campur tangan MB appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *