PUTRAJAYA: Isu bekalan barang  keperluan terutama telur dan ayam serta harga munasabah menjadi antara fokus utama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, isu bekalan makanan dengan harga munasabah memerlukan perhatian serius seiring dengan ramalan ekonomi dunia merosot tahun hadapan yang pastinya memerlukan kaedah bagi menanganinya. 

Menurut beliau, ini adalah lapangan baharu dan cabaran yang tidak pernah dihadapinya kerana sebelum ini beliau menjadi Menteri Pertahanan yang lebih banyak bercakap soal keselamatan tetapi kini, bidang kehidupan manusia melibatkan makanan dan keperluan harian. 

“Perkara pertama yang saya lakukan adalah akan mendengar taklimat sebelum merangka apa-apa perkara manakala benda yang tersedia, diteruskan dan benda baharu, akan dibincang bersama pegawai yang  berpengalaman. 

“Saya akan lihat soal harga makanan terutama telur kerana golongan miskin sehingga atasan makan telur… Di samping isu ikan dan ayam,” katanya kepada wartawan selepas sesi mengetip kad perakam waktu Menteri sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya hari ini.

GAMBARAN

Mohamad berkata, pihaknya akan mendapatkan gambaran sebenar situasi sebenar melalui taklimat dalam mencari kaedah yang terbaik keterjaminan bekalan makanan.

“Bagi saya apa keterjaminan makanan dengan harga munasabah itu penting. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali membangkitkan isu ini ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. 

“Selepas saya mendapat gambaran sebenar dan mencari kaedah terbaik, barulah satu kenyataan bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan dibuat,” katanya.

Ditanya sama ada isu kekurangan bekalan keperluan asas tidak berulang lagi, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, beliau tidak boleh memberi jaminan perkara sedemikian tidak berulang kerana bergantung kepada ekonomi dunia.

“Lihat sahaja peperangan antara Ukraine dan Russia yang tidak dijangka  berlaku dan akhirnya memberi kesan kepada baja yang memberi kesan kepada sektor pertanian negara. 

“Bagaimanapun, saya bersama pegawai kementerian ini akan mencari jalan untuk cuba mengatasi dengan cara terbaik,” katanya. – UTUSAN

The post Isu telur, ayam akan diselesaikan – Mohamad Sabu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *