PUTRAJAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilabel sebagai sombong dan angkuh susulan kenyataannya terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui pada program Rapat Umum EraBaharu Putrajaya, di sini malam tadi yang mendakwa, ugutan dikeluarkan Rafizi terhadap Azam itu menggambarkan sikap seorang individu yang sombong, angkuh dan cuba ‘mendera’ penjawat awam.

Beliau yang juga calon PN Gombak berkata, tugas serta peranan seorang penjawat awam ditentukan oleh kerajaan dan bukannya ahli politik.

“Jangan cuba bermusuh dengan anggota perkhidmatan awam. Anda boleh lihat sendiri watak PH yang suka mendera penjawat awam,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan dibuat Rafizi kononnya akan ‘mencari’ Azam sekiranya PH menang pada Sabtu ini susulan SPRM kini sedang menyiasat isu kekayaan Rafizi menerusi Invoke Sdn Bhd.

Ditanya tindakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang bakal menyamannya kerana membuat kenyataan palsu, Azmin berkata, ia terpulang pada hak masing-masing kerana beliau hanya menyatakan apa yang menyebabkan PH ditolak rakyat.

Media dilaporkan berkata, Guan Eng mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding saman fitnah terhadap Mohamed Azmin kerana  mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Kewangan. – UTUSAN

The post Isu ugut Azam Baki: Rafizi angkuh, sombong – Mohamed Azmin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *