JAKARTA: Pemerintah Jakarta merancang untuk melaksanakan kaedah sistem jalan berbayar elektronik atau sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) di ibu negara itu. 

Lapor Kompas.com, peraturan berkaitan sistem ERP itu termaktub dalam draf peraturan wilayah bagi Kawalan Lalu Lintas Elektronik yang masih dalam peringkat persiapan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Daerah.

Ketua Advokasi dan Hal Ehwal Masyarakat Persatuan Pengangkutan Indonesia, Djoko Setijowarno berkata, sistem ERP itu merupakan antara usaha kerajaan menangani kesesakan lalu lintas di ibu kota.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan sistem itu sebagai dasar yang tidak popular kerana berpotensi mendapat tentangan daripada masyarakat.

“Biasanya dasar jenis ini tidak disukai oleh sebahagian besar masyarakat,” katanya sepertimana dilapor portal Kompas.    

Djoko berpandangan kemungkinan besar dasar itu hanya akan disokong oleh kelompok masyarakat tertentu yang menitik berat masalah pengangkutan dan alam sekitar manakala selebihnya akan menolaknya.

“Jadi, hanya gabenor yang tidak mementingkan populariti berani melaksanakan sistem ERP atau jika terdapat undang-undang yang mewajibkan pelaksanaannya,” katanya.

Menurut Djoko, setakat ini, banyak idea dasar yang baik dilaksanakan di ibu negara.

Namun, katanya, semasa pelaksanaan dasar itu, ramai yang tidak berani atas sebab politik atau berisiko untuk tidak dipilih semula.

“Dasar ini hanya boleh dilaksanakan oleh gabenor Heru Budi Hartono, selagi beliau adalah pemangku gabenor,” katanya.

Sementara itu, Djoko berkata, pelaksanaan sistem ERP akan membawa kepada jumlah kutipan wang yang lebih banyak berbanding hasil daripada dasar lain yang dilaksanakan.  

Oleh itu, katanya, pemerintah akan berdepan cabaran untuk menyakinkan orang ramai bahawa hasil kutipan wang itu adalah impak daripada pelaksanaan sistem tersebut dan bukannya matlamat utama kerajaan.  

The post Jakarta rancang laksana sistem ERP  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *