SHAH ALAM: Tujuh balai bomba dikerah bagi operasi memadam kebakaran yang memusnahkan Wisma Jakel di Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini, pagi tadi.

Kebakaran kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan lot tiga tingkat premis pakaian terkemuka berkenaan.

Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, seramai 38 anggota termasuk pegawai bersama tujuh jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.08 pagi.

Katanya, kesemua anggota terlibat melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Kota Anggerik, Subang, Kota Raja, Damansara, Sungai Pinang dan Puchong.

“Pemeriksaan mendapati api sedang marak memusnahkan kedai pakaian berkenaan. Kebakaran itu berjaya dikawal selama sejam dan melibatkan 80 peratus kemusnahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norazam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

“Operasi pemadaman keseluruhan premis terutama bara api dan timbunan kain masih dijalankan sehingga kini. Punca sebenar kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” jelasnya. – UTUSAN

The post Jakel Shah Alam terbakar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *