SEREMBAN: Sejak laluan baharu menghubungkan Seremban ke Kuala Pilah dibuka pada 2009, jalan lama Bukit Putus yang sebelum ini menjadi laluan utama semakin lengang dan sunyi.

Keadaan tersebut menyebabkan beberapa masalah timbul di jalan yang telah wujud sejak 1920-an dan dikelilingi hutan. Ia termasuklah berkaitan penyelenggaraan jalan selain masalah pembuangan sampah haram di beberapa lokasi di sepanjang jalan berkenaan.

Menyedari isu tersebut dan potensi yang ada, kerajaan Negeri Sembilan kini memberi fokus kepada urusan baik pulih, pengindahan, penggunaan sumber alam, pencahayaan lampu jalan dan kebersihan di jalan lama Bukit Putus ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Muhamad Nahar Mohd. Sidek berkata, perancangan tersebut boleh dilaksanakan apatah lagi selepas jalan lama Bukit Putus kini merupakan Jalan Negeri dan statusnya sebagai Jalan Persekutuan telah dibatalkan.

Jelas beliau, ia melalui Warta Kerajaan Persekutuan bagi Pe­rintah Jalan Persekutuan (Malaysia Barat) (Pindaan) (No.8) 2022 P.U.(A) 210/22 yang berkuat kuasa pada 20 Jun 2022.

“Fokus turut akan diberikan kepada aspek keselesaan dan keselamatan dalam usaha dan langkah menjadikan jalan tersebut sebagai kawasan tarikan pelancongan dan laluan alternatif dari Seremban ke Kuala Pilah dan sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah beliau, untuk tujuan berkenaan, satu lawatan tapak yang melibatkan Jabatan Kerja Raya; Jabatan Perlindu­ngan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan Negeri

Sembilan diadakan pada 26 Julai 2022 bertujuan merancang dan menyelaras penyelenggaraan infrastruktur ser­ta fasiliti di jalan tersebut.

“Kawasan laluan berkenaan juga berada dalam kawasan Central Forest Spine (CFS) di Negeri Sembilan. Kerajaan Negeri Sembilan juga telah mengadakan mesyuarat dan perancangan bersama agensi-agensi terlibat termasuk

Lembaga Pelanco­ngan Negeri Sembilan; Majlis Bandaraya Seremban; Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah serta Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.

“Ia dalam usaha memastikan kawasan di sepanjang jalan Bukit Putus ini dapat diba­ngunkan mengikut bidang dan kuasa jabatan masing-masing,” katanya.

CFS adalah gugusan kompleks hutan yang diklasifikasikan di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) untuk empat kawasan/kompleks hutan yang sensitif di Semenanjung yang mempunyai nilai ekosistem dan jumlah hidupan liar yang tinggi.

Kawasan CFS ini merentasi lapan buah negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

 

 

 

UTUSAN

The post Jalan lama Bukit Putus bakal jadi kawasan tarikan pelancong appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *