TEMERLOH: Kira-kira 500 penduduk Kampung Mambang Berulang dan Kampung Sungai Dingin, Mentakab di sini kecewa jambatan gantung merentas Sungai Semantan yang rosak teruk dilanda banjir besar Di­sember 2021 masih terbiar begitu sahaja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Marto Marijo, 60, berkata, lebih mengecewakan jambatan gantung di Kampung Mambang Berulang itu kini sudah ditumbuhi pokok setelah sekian lama ‘menunggu janji’ bagi membaik pulih kemudahan itu.

“Masalah dihadapi penduduk seakan-akan tiada penghujung berikutan jambatan gantung yang menjadi laluan utama penduduk terbiar begitu sahaja.

“Pelik tapi benar kemudahan diterima kelas kedua walaupun lokasi kampung ini hanya kira-kira dua kilometer dari Bandar Mentakab yang hanya dipisahkan Sungai Semantan sejak zaman berzaman,” katanya di sini semalam.

Marto berharap wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu di Parlimen Temerloh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab membuktikan kepimpinan mereka cakna dengan permasalahan rakyat.

Ini kerana tegasnya, penduduk begitu bergantung kepada jambatan gantung untuk keluar ke bandar Mentakab dalam masa lima minit dan Temerloh tetapi rosak akibat banjir tanpa dibaiki.

“Walaupun ada janji kerajaan untuk membaiki atau mengganti dengan jambatan konkrit yang memerlukan kos RM3 juta ke RM4 juta tetapi sehingga ini tiada hujung pangkal,” katanya.

Beliau berharap peruntukan yang diluluskan Kerajaan Pusat tahun lalu sebanyak RM400 juta untuk tebatan banjir di Menta­kab dan Temerloh dapat dite­ruskan Kerajaan Perpaduan.

Penduduk Kampung Su­ngai Dingin, Alias Samah, 60, berkata, kedudukan kedua-dua kampung tersebut begitu strategik dibangunkan sebagai lokasi ekopelancongan di daerah ini.

Ini kerana jelasnya, Sungai Semantan yang menjadi laluan pedagang dan pahlawan Semantan Tok Bahaman zaman silam boleh diangkat sebagai aktiviti pelancongan bot persiaran dan memancing ikan.

Tambah beliau, bagi membangunkan Kampung Mambang Berulang dan Sungai Dingin, ia boleh dilakukan dengan membina jambatan konkrit yang selari dengan kemajuan negara.

Katanya, pihak Majlis Daerah Temerloh dan perancang bandar harus turun padang melihat potensi kampung itu untuk diba­ngunkan sebagai lokasi pelancong budaya dan alam semula jadi. – UTUSAN

The post Jambatan gantung rosak akibat banjir kini terbiar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *